KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan kemasukan pelajar ke universiti awam tidak pernah dibuat berdasarkan sentimen politik atau ‘pintu belakang’, sebaliknya tertakluk kepada syarat serta merit kelayakan yang ditetapkan berasaskan sistem pendidikan negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim menepis, dakwaan kononnya wujud laluan khas atau kelonggaran syarat bagi kemasukan ke universiti awam, termasuk bagi pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau berkata kerajaan tidak pernah menyatakan bahawa pemegang UEC boleh diterima masuk ke universiti awam secara automatik hanya berdasarkan kelayakan berkenaan.
“Kita tidak katakan bahawa penglibatan ataupun penerimaan (pemegang) UEC sepenuhnya hanya berdasarkan satu sistem itu sahaja. Sebaliknya ia perlu berdasarkan sistem pendidikan yang sedia ada dalam negara, bukannya sistem lain.
“Kemasukan ke universiti tidak pernah berdasarkan sentimen politik atau selera masing-masing. Sebaliknya ada syarat dan merit kelayakan yang perlu dipatuhi, terutama sekali yang berlandaskan sistem pendidikan kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung isu kemasukan pemegang UEC ke universiti awam.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata seramai 873,765 graduan warganegara menamatkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata berdasarkan data rasmi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), corak penempatan graduan memperlihatkan perkembangan yang positif, khususnya melalui peningkatan penguasaan pekerjaan mahir dalam kalangan graduan.
“Kadar graduan bekerja terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan daripada 90.9 peratus pada 2023 kepada 92.5 pada 2024, selain kita juga melihat peningkatan dari sudut kualiti pekerjaan yang diperoleh graduan.
“Peratus graduan ijazah pertama yang menerima pendapatan RM3,001 hingga RM4,000 meningkat daripada 22.7 peratus pada 2024 kepada 23.8 peratus pada 2025,” katanya menurut Bernama pada Khamis.
Selain itu, katanya, graduan diploma dan ke atas yang bekerja dalam pekerjaan mahir pada 2025 meningkat kepada 72.1 peratus berbanding 68.3 peratus pada 2023.



