SEREMBAN – Barisan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong mengingatkan pihak Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) supaya tidak melangkaui bidang kuasa dengan menentukan atau melantik pembesar adat di Luak Sungei Ujong tanpa mematuhi aturan adat dan punca kuasa yang sah.
Dalam satu kenyataan rasmi bertarikh 24 Jun, mereka mendakwa terdapat tindakan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan mengeluarkan surat yang mengiktiraf semula individu yang sebelum ini telah dipecat sebagai Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong, sedangkan tiada surat punca kuasa rasmi daripada Balai Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Sungei Ujong.
Menurut kenyataan itu, individu berkenaan didakwa telah dipecat pada November 2024, namun namanya kembali digunakan dalam surat rasmi bertarikh 18 Mei 2026 yang dihantar kepada Hospital Tuanku Ja’afar.
Mereka turut mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan surat pemecatan yang sebelum ini turut ditandatangani oleh Setiausaha DKU sendiri.
“Kami mengingatkan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kelayakan menentukan Dato’-Dato’ Lembaga Adat khususnya di Luak Sungei Ujong dan jangan bertindak di luar bidang kuasa.
“Beliau bukan pembesar Luak mahupun waris untuk menentukan atau melantik Dato’-Dato’ Lembaga Adat di Luak Sungei Ujong, sebaliknya hanya penjawat awam yang diamanahkan menguruskan pentadbiran Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.
Barisan pembesar adat itu turut mempersoalkan semua pelantikan semula yang didakwa dibuat tanpa surat punca kuasa rasmi daripada Balai YTM Undang Luak Sungei Ujong.
Mereka mendakwa keadaan itu boleh menimbulkan kekeliruan terhadap sistem adat yang telah diamalkan sejak sekian lama serta menggesa semua pihak menghormati adat purbakala dan menjalankan amanah mengikut syariat, adat dan undang-undang yang ditetapkan.
Dalam satu lagi kenyataan berasingan pada hari yang sama, Barisan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong turut menegaskan bahawa pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 adalah tidak sah menurut aturan adat.
Mereka mendakwa pelantikan Undang Luak Sungei Ujong hanya boleh dilakukan selepas memperoleh persetujuan sebulat suara daripada ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir, persetujuan semua Dato’-Dato’ Lembaga Adat yang sah serta pengisytiharan oleh Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
Menurut kenyataan itu, semua syarat tersebut didakwa tidak dipenuhi dalam pelantikan Muhammad Faris.
Mereka turut merujuk keputusan Sidang Mesyuarat Khas DKU pada 5 Jun 2026 yang, menurut kenyataan itu, mengiktiraf kedudukan YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Thahak sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang masih sah.
Sehubungan itu, Barisan Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong menegaskan bahawa sebarang pelantikan atau pengiktirafan jawatan adat selepas ini yang tidak melalui Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong adalah tidak sah mengikut adat purbakala Luak Sungei Ujong dan menggesa semua pihak merujuk terus kepada pembesar adat yang sah bagi mengelakkan kekeliruan.


