Mesyuarat MPT PN berkemungkinan tidak sah, bercanggah kehendak Pendaftar Pertubuhan – Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) malam tadi berkemungkinan tidak sah kerana didakwa bercanggah dengan kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), kata Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, BERSATU merujuk kepada surat JPPM bertarikh 22 Jun 2026 yang memaklumkan terdapat beberapa dokumen dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN kepada jabatan itu tidak lengkap dan tidak ditandatangani.

Menurut Ahmad Faizal, susulan itu JPPM meminta PN mengemukakan beberapa maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari selaras dengan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

“JPPM juga berhak menangguhkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, wakil-wakil BERSATU telah membangkitkan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN malam tadi dan berpendirian mesyuarat tersebut wajar ditangguhkan berdasarkan maklum balas JPPM.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat tetap diteruskan dan tindakan itu berkemungkinan bertentangan dengan kehendak JPPM untuk memastikan urusan pentadbiran serta pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan PN, Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan berkuat kuasa.

Dalam mesyuarat sama, wakil-wakil BERSATU turut membantah desakan Pengerusi PN untuk menerima keanggotaan Parti Cinta Malaysia (PCM) dalam gabungan itu.

Ahmad Faizal berkata, bantahan dibuat kerana PN sedang berdepan masalah dalaman selepas PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU.

Katanya, penerimaan parti baharu yang dipimpin bekas ahli BERSATU yang telah dipecat hanya akan menambah masalah dalaman PN.

Beliau turut mendakwa permohonan PCM menyertai PN tidak teratur kerana dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti Setiausaha Agung PCM, sedangkan semakan rasmi mendapati Setiausaha Agung PCM terkini bagi sesi 2026-2027 ialah Yeo Kwee Kwang.

Menurutnya, maklumat barisan kepimpinan yang dikemukakan pula menggunakan nama Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat atas nama PCM.

“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh JPPM.

“Menggunakan nama parti yang tidak diluluskan oleh JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, BERSATU kesal dengan tindakan Pengerusi PN yang didakwa mendesak Majlis Tertinggi menerima keanggotaan PCM secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi undang-undang.

Mengenai Pilihan Raya Negeri Johor, beliau berkata wakil BERSATU diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentangkan kerusi-kerusi tumpuan parti itu di negeri berkenaan.

Katanya, BERSATU menegaskan calon-calonnya akan menggunakan logo PN dan pendirian itu dipersetujui Pengerusi PN.

Sehubungan itu, BERSATU akan mengemukakan senarai kerusi Dewan Undangan Negeri Johor yang akan ditandingi untuk penyediaan watikah dan surat kebenaran menggunakan simbol PN.

“Sebagai parti pengasas Perikatan Nasional, BERSATU akan memastikan perjalanan dan segala urusan pentadbiran, pengurusan serta aktiviti PN dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan PN serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan yang dikuatkuasakan JPPM,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat