Malaysia boleh beli minyak,gas dari Iran tanpa halangan – Duta

KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang memperluaskan kerjasama ekonomi dengan Iran susulan pembukaan ruang perdagangan minyak, gas dan produk petrokimia negara itu ke pasaran antarabangsa tanpa sebarang halangan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi kedua-dua negara.

Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, perkembangan itu membolehkan mana-mana negara termasuk Malaysia mendapatkan bekalan minyak dan produk tenaga daripada Iran sekiranya terdapat minat daripada syarikat berkaitan.

Beliau berkata, peluang berkenaan hadir ketika hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran berada pada tahap yang baik merangkumi pelbagai bidang kerjasama.

“Seperti yang dinyatakan, kini Iran boleh menjual minyak serta produk minyak, gas dan petrokimia kepada dunia.

“Mana-mana negara kini boleh membeli minyak dan produk minyak daripada Iran dan tidak ada sebarang larangan untuk kerjasama seperti ini,” katanya kepada media pada Persidangan Ekonomi Maritim Global 2026 lapor BH pada Selasa.

Valiollah berkata, Malaysia juga mempunyai peluang untuk mendapatkan bekalan minyak daripada Iran memandangkan tiada halangan yang menghalang kerjasama sedemikian.

“Malaysia juga boleh datang membeli minyak daripada Iran. Tidak ada sebarang halangan untuk perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, situasi berkenaan membuka ruang yang lebih luas untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Katanya, Iran dan Malaysia sudah lama menikmati hubungan yang baik serta kerjasama erat dalam pelbagai bidang termasuk politik, kebudayaan, sains dan teknologi.

“Sudah tentu terdapat peluang yang baik untuk kedua-dua pihak meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi kerana kita mempunyai hubungan yang sangat baik dan mesra.

“Kita juga mempunyai kerjasama yang baik dalam semua bidang termasuk hubungan politik, kebudayaan serta sains dan teknologi,” katanya.
Valiollah berkata, perkembangan terkini dalam sektor tenaga boleh menjadi pintu masuk kepada kerjasama ekonomi yang lebih besar antara Tehran dan Kuala Lumpur.

“Ekonomi kini menjadi satu pintu yang sangat baik untuk membuka lebih banyak kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.

Mengulas kemungkinan syarikat Malaysia mendapatkan bekalan minyak daripada Iran, beliau berkata perkara itu memerlukan rundingan teknikal antara pihak berkaitan.

“Saya pasti rundingan teknikal boleh dilakukan antara pihak Iran dan pihak Malaysia sekiranya PETRONAS atau syarikat lain berminat membeli minyak daripada Iran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Valiollah berkata, situasi semasa yang membolehkan perdagangan minyak Iran berlangsung adalah sebahagian daripada proses yang dipersetujui susulan memorandum persefahaman gencatan senjata dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan rundingan bagi mencapai persetujuan muktamad dalam tempoh 60 hari.

Katanya, dalam tempoh itu AS perlu menunjukkan komitmen untuk melaksanakan janji dan tanggungjawab yang telah dipersetujui.

“Atas sebab itu, sepanjang tempoh 60 hari ini mereka mula melaksanakan syarat yang telah dibincangkan dan diterima,” katanya.

Valiollah turut menyifatkan hubungan politik antara Malaysia dan Iran berada pada tahap yang kukuh, termasuk kerjasama dalam pelbagai organisasi antarabangsa.

“Seperti yang saya nyatakan, kita mempunyai hubungan yang sangat baik dan mesra serta kerjasama politik yang baik, termasuk dalam organisasi antarabangsa. Kita sentiasa gembira untuk bekerjasama dalam bidang-bidang ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, kerajaan serta Parlimen Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada Iran ketika negara itu berdepan peperangan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerajaan dan juga Parlimen Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada Iran ketika perang berlaku.

“Kami juga menghargai pendirian dan solidariti yang ditunjukkan terhadap rakyat Iran,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat