GEORGE TOWN, – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan platform terbaik untuk semua parti politik mengetengahkan lebih ramai calon wanita muda sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh demokrasi dan memperbaharui landskap kepimpinan politik negara.
Ketuanya, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata, Johor yang sering menjadi penanda aras politik nasional mempunyai peluang besar untuk mencetuskan gelombang baharu yang lebih progresif dan inklusif, khususnya selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik.
Menurut beliau, komposisi pengundi muda yang semakin signifikan menjadikan suara generasi muda antara faktor utama yang menentukan hala tuju politik negeri itu.
“Dalam suasana politik yang semakin dinamik, rakyat khususnya golongan muda mahukan kepimpinan yang memahami aspirasi mereka, membawa idea baharu serta menawarkan penyelesaian yang lebih dekat dengan realiti semasa.
“Justeru, usaha mengetengahkan lebih ramai calon wanita muda bukan lagi sekadar soal representasi, tetapi merupakan satu keperluan bagi memastikan politik negara terus relevan dengan kehendak generasi masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang turut menghargai langkah parti-parti politik yang telah memberi peluang kepada wanita muda untuk bertanding serta memegang jawatan penting dalam parti dan kerajaan.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan ruang politik negara semakin terbuka kepada bakat-bakat muda tanpa mengira gender.
Bagaimanapun, beliau berkata, statistik semasa menunjukkan penyertaan wanita dalam politik masih berada pada tahap yang rendah dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) terkini, subindeks Penguasaan Politik mencatatkan skor paling rendah iaitu 0.096 atau hanya 9.6 peratus.
“Wanita juga hanya mewakili sekitar 13.5 peratus ahli Dewan Rakyat dan 16.1 peratus jawatan menteri di peringkat Persekutuan,” katanya.
Tambah beliau, keadaan itu menunjukkan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi memastikan suara wanita mendapat tempat yang lebih seimbang dalam proses membuat keputusan negara.
Sehubungan itu, Puteri UMNO Pulau Pinang menyokong usaha memperkukuhkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam parti-parti politik serta pencalonan pilihan raya.
Ameera Nadia berkata, sasaran tersebut bukan sekadar memenuhi kuota, sebaliknya merupakan pelaburan penting dalam melahirkan kepimpinan negara yang lebih inklusif, berdaya saing dan mencerminkan komposisi sebenar masyarakat Malaysia.
“Johor mempunyai peluang untuk memulakan perubahan ini. Sekiranya lebih ramai calon wanita muda diberi kepercayaan dalam PRN akan datang, Johor bukan sahaja mampu melahirkan generasi pemimpin masa hadapan, malah boleh muncul sebagai trendsetter nasional dalam memperkasakan kepimpinan wanita muda di Malaysia,” katanya.


