Oleh Zihan Zari
IPOH – Apa yang negara perlukan adalah anak muda yang berani, berintegriti, dan berdaya tahan sebagai pemimpin masa depan, kata Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral, Dato ’ Mohamad Suria Mohamad Saad.
Menurut beliau negara bertuah ini bukan sahaja mahu melahirkan anak-anak muda yang bijak di atas kertas akademik malah menjadi harapan supaya diasuh agar jiwanya kalis gentar dan berfizikal kental mendepani zaman.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Upacara Penutup Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 17/2026 di Padang Astaka Politeknik Ungku Omar (PUO) dekat sini, baru-baru ini.
MALPTAAC yang berprestij ini melibatkan 1,000 anggota Askar Wataniah (AW) Politeknik dari seluruh Malaysia yang telah berjaya menamatkan Latihan Kem Tahunan (LKT) mulai 1 hingga 15 Jun lalu dihoskan oleh PUO bersama Rejimen 503 AW, dengan sokongan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Hj. Ulaimi Yahya; Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Hj. Mohd Shauari Mat Piah; Asisten Ketua Staf Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Razeif Che Ahmad; Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Rosli Abu Bakar; Komander Rej 503 AW, Brigedier Jeneral Syed Nasir Sayed Mahadi; dan Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh.
Mohamad Suria berkata hentakan kaki dan titisan keringat di padang kawad dan di Lapang Sasar di dalam acara Multi Relay mahupun litar merentas halangan serta keikhlasan dalam Program Jiwa Murni yang menuntut pengorbanan. Semua itu bukan sekadar aktiviti suka-suka untuk hiburan, itu adalah medan ujian yang menuntut keberanian.
“MALPTAAC adalah medan yang menguji sejauh mana kalian mampu bertahan apabila ditekan sejauh mana kalian mampu memimpin apabila keadaan memerlukan dan sejauh mana setianya kalian pada semangat berpasukan yang menjadi sandaran.
“Sejak tahun 1999, MALPTAAC bukan hanya sekadar sebuah perkhemahan tahunan, saban tahun penganjurannya ia menjadi medan latihan yang membentuk jati diri anak-anak muda luaran dan dalaman.
“Sesungguhnya kejayaan MALPTAAC siri ini adalah terjemahan kepada pendekatan wholeof -government and whole -of -Societies (WOGOS) yang kita laksanakan .
“Ini adalah bukti nyata, bahawa kita mampu mencipta platform untuk membina sebuah ekosistem pertahanan yang mampan. Dengan adanya muafakat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF),”katanya.
Katanya lagi, kemerdekaan dan kedaulatan negara ini adalah terlalu amat berharga dan ia adalah tanggungjawab kolektif yang perlu kita pikul bersama .
Katanya lagi, seluruh pengurusan politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di seluruh Malaysia diseru terus gandakan dan perkasakan penyertaan pelajar dalam AW, sebagai wadah untuk mereka menyumbang kepada keselamatan negara.
“Dunia di luar semakin mencabar dan penuh dengan pergolakan dan negara ini, tidak mahu serta tidak mampu untuk mempunyai generasi muda yang lemah, rapuh, dan mudah mengeluh apabila berdepan kesukaran.
“Dalam era di mana ancaman keselamatan menjadi semakin kompleks dan melangkaui dimensi tradisional. Kita memerlukan modal insan yang serba boleh dan di sinilah letaknya keunikan kalian semua sebagai warga AW yang kredibel,”ujarnya.
“Saudara dan saudari membawa latar belakang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kepelbagaian bidang kepakaran yang berkualiti seperti Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrikal, Perdagangan, Teknologi Maklumat, dan sehinggalah ke bidang hospitaliti.
“Latar belakang serta kepakaran kalian adalah high impact dan sangat berharga, graduan TVET merangkumi lebih 45 peratus (%) daripada tenaga kerja negara yang sedang berbakti.
“Jadikan ia kompas yang memandu hidup kalian sebagai mahasiswa dan sebagai warganegara yang sedia berbakti, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, keamanan, keselesaan, dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini tidak datang secara percuma tanpa ada usaha yang dicurahkan. Ia tidak bergolek dari langit untuk dinikmati dengan kesenangan, ia berdiri di atas pengorbanan, air mata, dan darah para pejuang terdahulu yang bertaruh nyawa di medan pertempuran.
Dalam pada itu, majlis penutup MALPTAAC Siri 17 turut dipersembahkan dengan demonstrasi Rapid Deployment Exercise (RDX) yang mempamerkan keupayaan serta kemahiran para peserta dalam mengaplikasikan latihan Operations in Built-Up Area (OBUA) yang telah dipelajari sepanjang perkhemahan.
Demonstrasi tersebut bukan sahaja memperlihatkan tahap disiplin, koordinasi dan kesiapsiagaan peserta, malah menjadi bukti keberkesanan modul latihan ketenteraan yang diterapkan dalam membentuk anggota AW yang cekap, tangkas dan berdaya tahan.
MALPTAAC Siri 17 telah melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang menyaksikan pasukan AW PUO dijulang sebagai juara keseluruhan yang berjaya menampilkan kecemerlangan menyeluruh dari aspek disiplin, semangat berpasukan, dan kepimpinan.
Manakala, juara kawad disandang oleh Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS); Merentas Halangan: PUO; Menembak: Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS); dan Multi Relay: Politeknik Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).
Dalam perkembangan sama, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi telah menyerahkan lapan bendera MALPTAAC secara rasminya kepada Pengarah Politeknik Kota Bharu (PKB), Ts. Mohd Hisham Makhtar, sebagai tuan rumah penganjuran MALPTAAC Siri 18/2027 yang akan dilaksanakan di bawah kelolaan Rej 506 AW. – SUARA.TV



