KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching menyelar taktik kotor yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab apabila sengaja memakaikan hijab kepada bakal-bakal calon DAP Johor seperti wanita Muslim.
Pengerusi DAP Wanita Kebangsaan itu menganggap taktik kotor itu bertujuan untuk menakutkan pengundi Cina untuk mengundi Pakatan Harapan (PH).
“Jangan terpengaruh dengan taktik kotor. Dan jangan sebar pembohongan! Ada pihak sengaja mengubah poster bakal-bakal calon DAP Johor dengan menjadikan gambar mereka menjadi seperti wanita Muslim bertudung dalam keadaan yang salah.
“Niatnya bertujuan menakutkan pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina, daripada mengundi Pakatan Harapan.
“DAP memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia, tanpa mengira latar belakang, wilayah, agama atau gender.
“Percubaan pihak lawan untuk memburukkan DAP dengan cara ini bukan sahaja mencerminkan niat jahat mereka tetapi juga sikap benci wanita,” tegas Nie Ching.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai mengingatkan bahawa DAP menghormati semua agama, dan kami faham dan sedar bahawa tudung sebagai sebahagian daripada pakaian Muslimah tidak boleh dipermainkan.
“Taktik kotor mengubah gambar poster ini adalah perbuatan keji yang perlu ditolak.
Semoga pengundi semua kaum menolak perbuatan ini. Sama-sama kita memilih keharmonian, perpaduan dan keamanan,” seru Timbalan Menteri Komunikasi itu.



