Siapa nak urus, biaya jika penempatan Rohingya diwujudkan di pulau Laut Andaman ?- Ayob Khan gesa semua agensi main peranan

KUALA LUMPUR – Isu penempatan haram etnik Rohingya yang semakin membarah di negara ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi dan negara berkaitan, bukannya diletakkan di bahu pihak berkuasa seperti polis semata-mata.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu perlu ditangani secara terancang memandangkan ia melibatkan pelbagai aspek termasuk kemasukan pendatang tanpa izin (PATI), keselamatan serta isu kemanusiaan.

Menurut beliau, berdasarkan statistik sehingga April lalu, terdapat seramai 219,472 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, seramai 197,591 ialah warga Myanmar dan 128,200 daripadanya merupakan etnik Rohingya.

“Ini bukan isu baharu dan ia memerlukan penyelesaian yang lebih komprehensif kerana melibatkan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Lawatan Sempena Hari Polis di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), lapor Sinar Harian pada Khamis.

Ayob Khan berkata, usaha menangani kemasukan dan penempatan Rohingya tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Imigresen Malaysia semata-mata.

Menurutnya, kemasukan PATI melibatkan beberapa lapisan penguatkuasaan bermula di perairan sebelum mereka mendarat dan berada di negara ini.

“Polis merupakan pihak terakhir dalam rantaian ini. Dari sudut keselamatan dan jenayah, kita akan mengambil tindakan sekiranya mereka terlibat dalam sebarang kesalahan.

“Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan operasi membanteras penempatan PATI termasuk membabitkan etnik Rohingya dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berkuasa.

Katanya, antara tindakan yang telah diambil ialah operasi di kawasan Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat yang menyaksikan seramai 42 individu ditahan.

“Ketua Polis Daerah Kajang juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada 9 Jun lalu,” ujarnya.

Mengulas cadangan mewujudkan pusat penempatan Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman, beliau berkata, pelbagai perkara perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Soalnya, siapa yang akan menguruskan pusat itu, siapa yang akan membiayainya dan selepas proses saringan dilakukan, mereka hendak ditempatkan di mana.

“Adakah negara ketiga sanggup menerima mereka? Ini antara persoalan utama yang perlu dijawab sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa kewujudan pusat transit khas berkenaan berpotensi menjadi faktor penarik yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan manusia untuk membawa lebih ramai migran ke rantau ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat