Agong perkenan gelaran ‘Tan Sri’ kepada Isa Samad ditarik balik

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa Abdul Samad berkuatkuasa pada 8 Jun lalu.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, penarikan balik kurniaan darjah berkenaan adalah bersangkutan dengan kesalahan Isa Samad yang kini menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.

“Ia juga serta titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Februari lalu Pengerusi Felda itu diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya melibatkan RM3.09 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan pembebasan Mohd. Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah.

Panel hakim itu mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun, serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md. Arip.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat