Oleh: Mohd Zainuddin Omar
Peguam Kanan
Sistem Diraja Negeri Sembilan yang unik kini berada di persimpangan liku perlembagaan yang amat kritikal. Ketegangan yang berlaku di antara Istana Besar Seri Menanti dan institusi Pembesar Memerintah (Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin) telah mencetuskan krisis pemerintahan yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Inti pati kepada kemelut ini berpaksi kepada dua figura, iaitu Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang masing-masing dilihat mempunyai asas tuntutan tersendiri. Bagi merungkai polemik ini dan menentukan keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, terdapat beberapa isu undang-undang utama yang wajib diperincikan secara tuntas.
Status Kedudukan Tuanku Muhriz di Sisi Perlembagaan Persoalan pertama yang amat mendesak adalah berkaitan status keabsahan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar (YDPB) selepas tindakan drastik diambil oleh Undang Luak. Mengikut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), Undang Yang Empat mempunyai prerogatif dan kuasa adat yang dijamin perlembagaan untuk memilih, malah menurunkan seorang YDPB daripada takhta sekiranya terdapat syarat yang termaktub di bawah peruntukan tersebut. Dalam konteks undang-undang pentadbiran dan perlembagaan, sesuatu keputusan yang dibuat oleh badan berkuasa dianggap sah dan berkuat kuasa sehinggalah ia dibatalkan oleh mahkamah. Memandangkan Undang Luak telah pun menyempurnakan istiadat pemasyhuran Tuanku Nadzaruddin sebagai YDPB ke-12, beban untuk membuktikan sebaliknya kini terletak di bahu Tuanku Muhriz.
Setakat hari ini, Tuanku Muhriz masih belum memfailkan sebarang permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar penurunan takhta tersebut samada atas alasan kesempurnaan “siasatan penuh dan lengkap” (full and complete enquiry) atau atas sumber kuasa itu sendiri yang dijalankan oleh Undang Luak di bawah Perkara 10 tersebut. Kegagalan atau keengganan untuk mencabar keputusan tersebut di bilik perbicaraan bermakna dari aspek Undang-undang Perlembagaan, status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar telah pun terhenti. Tanpa semakan kehakiman, naratif bahawa baginda telah diturunkan takhta secara sah di bawah adat dan perlembagaan kekal menjadi status perundangan yang mengikat.
Keabsahan Pembubaran DUN Tanpa Konsensus “Ruler”
Isu kedua beralih kepada tindakan Tuanku Muhriz menandatangani watikah pembubaran DUN atas permintaan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Muncul persoalan sama ada keputusan penurunan takhta oleh Undang Luak memerlukan “cop mohor” pengiktirafan daripada Menteri Besar atau Perdana Menteri untuk menjadikannya sah. Jika jawapannya tidak, maka adakah sah tindakan Tuanku Muhriz membubarkan DUN secara unilateral?
Di bawah kerangka UUTKNS, kedudukan kedaulatan Negeri Sembilan amat berbeza dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Institusi “Ruler” atau Raja Pemerintah tidak diwakili oleh seorang individu mutlak. Mengikut Perkara 28 UUTKNS yang dibaca bersama Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, terma “Ruler” bagi Negeri Sembilan ditakrifkan sebagai satu entiti komposisi yang merangkumi Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah (Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin).
Perkara 28 UUTKNS menetapkan syarat yang sangat ketat: sesuatu keputusan Raja Pemerintah, termasuklah persetujuan untuk membubarkan DUN di bawah Perkara 40(2), hanya dianggap sah jika YDPB mendapat konsensus daripada sekurang-kurangnya tiga orang Undang Luak. Jika hanya ada tiga orang Undang yang sah memegang jawatan, maka sekurang-kurangnya dua orang hendaklah bersetuju.Rekod menunjukkan bahawa Pembesar Memerintah melalui surat peguamcara mereka telah mengemukakan bantahan rasmi terhadap pembubaran DUN tersebut. Fakta ini mendedahkan satu kecacatan bidangkuasa dan prosedur yang amat besar—iaitu Menteri Besar sama ada gagal memohon persetujuan atau gagal memperoleh persetujuan daripada Pembesar Memerintah sebelum memaklumkan kepada SPR.
Akibatnya, Negeri Sembilan kini berhadapan dengan dua senario undang-undang yang parah:
1. Senario Pertama: DUN sebenarnya telah dibubarkan oleh seorang YDPB yang status kedaulatannya telah pun diturunkan takhta di bawah Perkara 10.
2. Senario Kedua: Pembubaran DUN tersebut dibuat tanpa memenuhi syarat kuorum komposisi yang diwajibkan oleh Perkara 28 UUTKNS, menjadikannya satu tindakan peribadi (personal act) Tuanku Muhriz yang tidak berperlembagaan.
Dilema Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Risiko Saman Pemula
Kekusutan ini meletakkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meneruskan proses pilihan raya akan dicabar. Sebagai badan bebas persekutuan, SPR bertanggungjawab menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan. Bagaimanapun, jika SPR menerima watikah pembubaran yang cacat prosedur, institusi ini terdedah kepada risiko tindakan undang-undang.Pembesar Memerintah atau mana-mana pengundi yang terkilan boleh memfailkan Saman Pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan SPR di Mahkamah Tinggi. Tuntutan saman ini akan memohon deklarasi bahawa Proklamasi Pembubaran DUN adalah tidak sah (void ab initio) kerana melanggar Perkara 28 UUTKNS. Sekiranya Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula tersebut atau mengeluarkan perintah injunksi interlokutori, SPR tiada pilihan selain menangguhkan seluruh proses pilihan raya. Menjalankan PRN di atas tapak pembubaran yang tidak sah akan membazirkan jutaan ringgit dana awam, kerana keputusannya kelak boleh dibatalkan dengan mudah melalui Petisyen Pilihan Raya.
Impak Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN)
Kesan daripada pertikaian prosedur ini boleh melahirkan kewujudan “dua orang YDPB” yang bertembung dalam satu ruang politik: Tuanku Muhriz yang bergerak bersendirian tanpa sokongan institusi Pembesar Memerintah, berhadapan dengan Tuanku Nadzaruddin yang disokong padu oleh struktur komposisi Raja Pemerintah Negeri Sembilan.
Implikasi terbesar bakal melanda sebaik sahaja keputusan PRN diumumkan. Sekiranya keputusan pilihan raya menyaksikan tiada parti politik yang berjaya memperoleh mandat majoriti nyata, kebarangkalian besar gabungan-gabungan politik yang gagal mendapat mandat mutlak akan cuba menghadap kedua-dua YDPB secara berasingan demi menubuhkan kerajaan. Keadaan ini akan mencetuskan anarki politik yang luar biasa kerana UUTKNS menetapkan bahawa hanya “Ruler” (Raja Pemerintah) yang sah sahaja boleh melantik seorang Menteri Besar. Lebih merumitkan keadaan, sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun tidak bertanding atau selepas keputusan PRN muktamad dicapai, Tuanku Muhriz berkemungkinan besar akan kehilangan sokongan daripada figura Menteri Besar atau pentadbiran eksekutif yang selama ini menjadi benteng politik baginda. Apabila sokongan eksekutif tersebut runtuh, kedudukan Tuanku Muhriz pasti akan tergugat secara total.
Jalan Penyelesaian Perlembagaan
Buat masa ini, pentadbiran sedia ada kerajaan negeri berada dalam dilema yang mendalam kerana dilihat masih enggan menerima pemilihan Tuanku Nadzaruddin. Kelangsungan kedudukan Tuanku Muhriz masih cuba dipertahankan oleh Raja Norazli, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dengan mencabar kewibawaan Pembesar Memerintah. Namun, dari segi imbangan kuasa di dalam DKU sendiri, pecahan sokongan adalah sangat tidak seimbang. Ahli DKU yang memihak kepada Tuanku Muhriz dilaporkan hanyalah anakanda baginda sendiri. Sebaliknya, Tuanku Nadzaruddin mendapat sokongan padu daripada enam orang ahli utama DKU yang lain, iaitu Pembesar Memerintah dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.
Kesimpulannya, polemik ini tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian yang harmoni dan berlandaskan lunas perlembagaan. Pihak pentadbiran Kerajaan, Peguam Negara, dan para cendekiawan undang-undang perlu segera merujuk kepada teks asal UUTKNS demi memelihara kedaulatan undang-undang (rule of law). Sebarang usaha membelakangkan peruntukan Perkara 28 dan Perkara 10 serta Perkara 29 UUTKNS bukan sahaja akan menjejaskan kredibiliti sistem pilihan raya, malah berisiko mengheret Negeri Sembilan ke kancah krisis perlembagaan yang paling gelap dalam sejarah modennya. Kekusutan ini wajib dileraikan sebelum peti undi dibuka, demi ketenteraman rakyat dan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan.


