KUALA LUMPUR – Penyatuan Melayu-Islam ini tidak semestinya menggunakan nama “muafakat nasional” kerana penyatuan boleh sahaja menggunakan apa sahaja nama.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menjelaskan, apatah lagi apabila nama muafakat nasional itu sendiri telah didaftarkan di bawah nama NGO dan milik orang lain.
“Nama itu tidak penting, tetapi apa yang lebih penting persefahaman,tujuan dan hala tuju penyatuan Melayu- Islam itu,” katanya.
Sebelum itu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak sebarang kemungkinan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), gabungan yang pernah dibentuk antara Umno dan Pas.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan gabungan itu dihidupkan semula, Zahid menegaskan Umno tidak mempunyai sebarang hasrat untuk mengembalikan MN dalam apa jua bentuk.
“MN telah didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh seseorang. Jadi, kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula MN.
“Sama ada 1.0 ataupun 2.0, itu telah berakhir dan kita telah tutup buku,” katanya.
Gabungan MN antara Umno dan Pas dimeterai secara rasmi pada 2019 ketika kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, kerjasama itu berakhir selepas Pas membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu pada tahun berikutnya.



