JOHOR BAHRU – Bank Rakyat telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM121 juta kepada 150 usahawan di Johor dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bagi memperkukuh daya tahan dan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu menunjukkan permintaan terhadap pembiayaan perniagaan kekal tinggi, khususnya dalam kalangan PMKS yang berdepan peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut beliau, usahawan hari ini memerlukan sokongan lebih menyeluruh, bukan sekadar modal semata-mata.
“Usahawan hari ini memerlukan lebih daripada sekadar modal. Mereka memerlukan bimbingan, akses pasaran, jaringan perniagaan dan sokongan yang berterusan untuk berkembang dengan lebih mampan dan berdaya saing.
“Bank Rakyat telah membuktikan bahawa institusi kewangan boleh memainkan peranan yang lebih besar sebagai pemudah cara pertumbuhan dan pemangkin kejayaan usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Cawangan Bank Rakyat dan Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat di Johor Bahru, hari ini.
Dalam lawatan sama, Steven turut menyampaikan pembiayaan keseluruhan bernilai RM1.53 juta kepada tiga usahawan Johor.
Ia melibatkan RM1 juta kepada Diesel Truck Sdn. Bhd. melalui BR Prosper-i, RM500,000 kepada Stesen Minyak Perintis melalui BRPlus-i dan RM25,000 kepada Ho Jin Yuan melalui BRJohorNiaga.
Steven berkata, pembiayaan tersebut dijangka membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, meneroka peluang pasaran baharu, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Lawatan kerja itu turut diadakan bersempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia 2026 yang berlangsung di Angsana Mall Johor Bahru dari 5 hingga 7 Jun.
Karnival tersebut menghimpunkan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan termasuk latihan keusahawanan, sesi padan niaga, akses pembiayaan dan promosi produk tempatan.



