PAS mengintai kerjasama dengan UMNO dalam PRN Johor

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dilihat mula mengintai peluang kerjasama politik dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi seruan menghidupkan semula gagasan “Muafakat Nasional 2.0”.

Seruan itu disampaikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi kenyataan bertajuk Gelombang Perubahan yang dikeluarkan hari ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu.

Menurut beliau, pembubaran DUN Johor bukan sekadar proses demokrasi biasa, sebaliknya membuka ruang kepada satu perubahan besar dalam landskap politik negara yang mampu mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam dan Bumiputera.

“Pembubaran DUN ini mengembalikan hak memilih kepada rakyat. Ia juga membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam politik Malaysia.

“Satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini. Lebih daripada itu, ia juga mampu membentuk kekuatan politik Bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung, bahkan juga di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, matlamat tersebut hanya boleh dicapai sekiranya parti-parti utama Melayu-Islam sanggup mengetepikan perbezaan dan membina semula muafakat politik demi masa depan bangsa dan agama.

Menurutnya, beberapa isu besar yang berlaku ketika ini perlu menjadi titik penyatuan politik Melayu termasuk isu pengiktirafan UEC, cabaran terhadap enakmen syariah negeri-negeri, bantahan terhadap titah Raja-Raja Melayu serta isu penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu.

Katanya, kegagalan menyatukan kekuatan politik Melayu termasuk kelompok-kelompok kecil telah menyebabkan kuasa politik Melayu semakin terhakis.

“Perpecahan parti politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu, termasuk kelompok-kelompok kecil, telah menyebabkan kita menerima kesan yang berlaku pada hari ini.

“Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan UMNO, untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.

Walaupun tidak menyebut secara langsung bentuk kerjasama yang dicadangkan, kenyataan Tuan Ibrahim itu dilihat sebagai tawaran politik terbuka PAS kepada UMNO untuk kembali bekerjasama selepas hubungan kedua-dua parti retak pasca Pilihan Raya Umum ke-15.

Malah beliau secara jelas menyebut bahawa usaha penyatuan politik Melayu perlu dimulakan segera melalui PRN Johor.

“Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor, dan terus diperkukuh pada masa hadapan.

“Kini, sudah sampai masanya gagasan Muafakat Nasional 2.0 dijayakan,” katanya lagi.

Muafakat Nasional sebelum ini dibentuk pada tahun 2019 sebagai kerjasama rasmi antara PAS dan UMNO selepas kekalahan kedua-dua parti dalam 2018 Malaysian General Election.

Kerjasama itu pernah dilihat berjaya menyatukan sokongan Melayu-Islam terutama dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum hubungan kedua-dua parti mula renggang apabila UMNO mengambil keputusan bekerjasama dengan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.

Dalam kenyataan sama, Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa kekuatan politik Melayu perlu diasaskan kepada Islam sebagai alat penyatuan ummah dan pembentukan akhlak masyarakat.

“Kekuatan politik Melayu terletak pada agama Islam yang menjadi alat penyatuan ummah. Paksi utama ini mesti dijadikan asas dalam usaha penyatuan.

“Sesuatu bangsa akan terus teguh selagi akhlak dan pegangan agamanya utuh. Jika tidak, maka sebaliknyalah yang akan berlaku,” katanya.

Beliau turut memetik kata-kata penyair Arab terkenal Ahmad Shawqi yang menyebut bahawa sesebuah umat akan hancur apabila akhlaknya rosak.

Johor menjadi negeri pertama membubarkan DUN tahun ini dan perkembangan itu dijangka diikuti beberapa negeri lain termasuk Melaka, Sarawak dan kemungkinan Negeri Sembilan. PRN Johor juga dijangka menjadi medan penting mengukur sejauh mana parti-parti Melayu mampu mencari titik persefahaman baharu menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat