KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membawa impak buruk kepada Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyifatkan tindakan Tony Pua dan beberapa pemimpin DAP sebagai tidak bijak dan tidak bersantun kerana menyanggah titah Sultan Selangor.
Beliau berkata, tindakan kumpulan itu sudah pasti akan menjejaskan pandangan rakyat terhadap PH khususnya masyarakat Melayu menjelang pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, sokongan orang Melayu terhadap gabungan politik itu sememangnya berada pada keadaan yang amat rendah.
“Memang benar raja dan sultan di Malaysia ini adalah raja berperlembagaan, bukannya raja mutlak.
“Tetapi perlu difahami bahawa imej, maruah dan kedaulatan raja-raja terpelihara di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, ahli-ahli politik perlu cermat termasuk apabila berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen,” katanya menurut Utusan, pada Khamis.
Kelmarin, Tony Pua berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berpelembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran DUN.
Bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkata, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Hassan yang merupakan wakil rakyat PKR berkata, hujah yang dibawa oleh Tony Pua tidak betul dan beliau tidak sepatutnya menganggap bahawa hanya undang-undang Perlembagaan mengatasi segalanya sehingga tidak menghormati titah raja.
“Kena lihat dalam Perlembagaan ada satu bab khas tentang bagaimana Perlembagaan Persekutuan menjaga kedaulatan dan maruah raja-raja. Perlu diingat iaitu Raja-Raja Melayu di Malaysia telah berkoban, menyerahkan sebahagian kuasa multak kepada negara serta menerima Perlembagaan Persekutuan, demokrasi berparlimen.
“Jadi, rakyat terutama ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli politik kena menghormati raja-raja yang sanggup berkorban ini, mereka mahu negara ini menjadi sebuah negara demokrasi, ada pilihan raya. Jadi jangan perlekeh serta persendakan raja,” katanya.
Beliau turut menitip pesanan kepada ahli-ahli politik dari DAP yang dilihat kerap kali melanggar ‘garis merah’.
“Kepada ahli-ahli DAP, kena faham negara ini adalah negara Melayu terutama Semenanjung Malaysia. Buktinya wujud Raja-Raja Melayu, sebab itu orang Melayu marah, kalau hendak berurusan soal raja ini ada adab serta santun,” katanya.
Sementara itu, veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw mengingatkan Tony Pua agar menjadikan asas Rukun Negara sebagai pegangan utama dalam setiap tindakan dan pandangan berkaitan isu semasa
Bekas Ahli Parlimen Kepong itu berkata, Rukun Negara merupakan tunjang perpaduan yang perlu dipelihara seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang politik walaupun lantang bersuara dalam pelbagai isu.
Katanya, prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara perlu terus dihormati kerana membentuk masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling menghormati.
“Saya orang Malaysia dan dia (Tony Pua) juga orang Malaysia. Jadi, apakan asas dan teras utama yang perlu dipegang oleh rakyat Malaysia? Sudah tentu Rukun Negara,” katanya.



