Jafry dedah kemungkinan ada lagi kes pemburu haram gajah Borneo

KOTA KINABALU – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyatakan kebimbangan terhadap satu lagi kes membabitkan gajah Borneo yang dipercayai cedera di kawasan Felda Kalabakan Selatan, ketika siasatan kematian seekor gajah di Tongod masih berjalan.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata aduan mengenai gajah tersebut diterima pihak berkuasa minggu lalu sebelum operasi pencarian dan pemantauan lapangan dijalankan pada 13 dan 14 Mei lalu bagi mengesan haiwan berkenaan.

“Bagaimanapun, gajah itu tidak berjaya ditemui sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Menurut beliau, disebabkan gajah tersebut gagal dikesan, usaha menyelamat tidak dapat dimulakan pada peringkat ini dan tindakan lanjut akan bergantung kepada maklumat baharu, penampakan terkini atau laporan tambahan daripada lapangan.

Jafry berkata kecederaan membabitkan belalai gajah adalah sangat kompleks dan maklum balas awal pasukan veterinar menunjukkan kemungkinan pemulihan fungsi normal belalai adalah rendah walaupun dengan kaedah rekonstruksi.

Katanya, sekiranya operasi menyelamat dapat dilaksanakan, ia mungkin melibatkan pembedahan, rawatan intensif selepas pembedahan, pengurusan pemakanan, penahanan sementara dan pemantauan berterusan selama satu hingga dua minggu bergantung kepada tahap kecederaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa luka pada haiwan berkenaan menunjukkan tanda-tanda awal penyembuhan dan setakat ini tiada bukti jangkitan serius dikesan.

“Intervensi veterinar tidak diperlukan pada masa ini tetapi rawatan akan diaktifkan sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.

Mengulas punca kecederaan, Jafry berkata perkara itu masih dalam siasatan dan walaupun jerat merupakan antara kemungkinan yang sedang dinilai, ia belum disahkan sebagai punca sebenar.

“Antara kemungkinan lain termasuk kecederaan akibat objek tajam atau terkena peralatan penuaian di ladang kelapa sawit,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sementara siasatan dan penilaian lapangan masih diteruskan.

“Gajah Borneo merupakan antara spesies hidupan liar paling ikonik di Sabah dan sebahagian penting warisan alam sekitar negeri ini.

“Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah serta semua pihak berkaitan bagi memantau kes ini dan mengambil tindakan sewajarnya apabila diperlukan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat