Keyakinan terhadap Anwar semakin terhakis selepas Nik Nazmi letak jawatan – PN Setiawangsa

KUALA LUMPUR,– Perikatan Nasional (PN) Setiawangsa menegaskan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang disifatkan memberi gambaran terhadap kemerosotan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Yang Dipertua PAS Setiawangsa, Dr Zuraini Hashim dan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Setiawangsa, Ewan Radzuan berkata, pihak mereka menghormati keputusan yang dibuat oleh Nik Nazmi, namun perkembangan itu tidak dapat dipisahkan daripada situasi politik semasa yang menurut mereka semakin mencabar buat Kerajaan MADANI.

Menurut kenyataan itu, peletakan jawatan beberapa tokoh kanan kerajaan kebelakangan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai kestabilan politik serta hala tuju pentadbiran negara.

“Peletakan jawatan Ahli Parlimen Setiawangsa dilihat memberi gambaran bahawa kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri semakin terhakis.

“Keadaan ini bukan sahaja dilihat di kalangan rakyat, malah turut mula dirasai oleh pemimpin dalam parti Kerajaan MADANI sendiri apabila beberapa tokoh kanan kerajaan memilih untuk berundur,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, PN Setiawangsa menegaskan bahawa keutamaan mereka ketika ini adalah memastikan kebajikan rakyat serta kesinambungan perkhidmatan kepada penduduk Setiawangsa terus dipelihara tanpa mengira latar belakang politik, kaum atau agama.

Sehubungan itu, PAS dan Bersatu Setiawangsa yang merupakan komponen PN di kawasan berkenaan memaklumkan mereka akan memperkukuhkan gerak kerja khidmat masyarakat melalui pelancaran Pusat Khidmat Komuniti Setiawangsa Prihatin pada Jumaat ini.

Menurut mereka, inisiatif itu merupakan penambahbaikan kepada sistem sedia ada dengan menggabungkan interaksi secara fizikal dan atas talian bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan serta menyalurkan aduan dengan lebih pantas dan berkesan.

“Perikatan Nasional Setiawangsa akan melancarkan Pusat Khidmat Komuniti Setiawangsa Prihatin atau lebih dikenali sebagai Setiawangsa Prihatin pada 22 Mei 2026.

“Ia bertujuan memperkukuhkan jaringan komunikasi, saluran bantuan serta aduan rakyat supaya warga Setiawangsa dapat berhubung terus dengan pasukan khidmat komuniti secara lebih efektif,” kata kenyataan itu lagi.

Pusat khidmat berkenaan akan beroperasi di Jalan Megan Setapak, Sri Rampai dan orang ramai digalakkan hadir secara fizikal bagi mendapatkan bantuan atau menyuarakan isu setempat.

PN Setiawangsa turut menyatakan keyakinan bahawa integrasi sistem khidmat komuniti secara fizikal dan digital mampu mempercepatkan tindakan terhadap isu rakyat selain memastikan kebajikan masyarakat terus diberikan perhatian secara lebih menyeluruh.

Menurut mereka, rakyat memerlukan sebuah pasukan yang sentiasa dekat dengan masyarakat, memahami denyut nadi penduduk serta mampu bertindak segera demi kepentingan warga Setiawangsa.

Kenyataan itu diakhiri dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Kebajikan Diutamakan” sebagai manifestasi komitmen PN Setiawangsa untuk terus memainkan peranan membantu rakyat walaupun berlaku perubahan landskap politik di kawasan berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat