KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor telah nyatakan hasrat untuk bertanding di semua kawasan.
Katanya, mereka tidak terkejut kerana mereka juga sentiasa memantau perkembangan politik semasa. Itu adalah keputusan mereka (BN).
“Buat masa ini, kami melihat hubungan di peringkat pimpinan pusat masih baik dan harmoni. Namun, jika mereka telah membuat keputusan untuk bertempur di Johor, maka jawapan kita juga mesti tegas.
“Hari ini Pakatan Harapan (PH) ambil keputusan untuk beri respon jelas dan tegas. Jika itulah pilihan BN, maka PH juga bersedia untuk tanding di semua kawasan.
“Di Negeri Sembilan misalnya, kita bersedia bertanding semua kawasan. Di Selangor, kami juga bersedia. Kita akan bertanding di semua kawasan di Selangor. Pulau Pinang juga bersedia untuk hadapi pertandingan di semua kawasan.
“Begitu juga di Pahang dan di negeri-negeri lain sekiranya keadaan memerlukan.
“PH ingin tegaskan sekali lagi. Jika mereka memilih untuk ‘langgar’, maka jawapan kita tegas,” kata Sheikh Umar.
Sebaliknya beliau berkata, jika BN datang untuk berunding dengan baik, kita pasti akan menyambutnya dengan baik juga.
“Kita ini orang yang sabar, rasional dan mahu menyelamatkan negara.
“Apa kekuatan terbesar negara kita? Political stability – kestabilan politik. Negara memerlukan kestabilan. Sebab itu, kita telah ikhtiar sedaya upaya untuk mempertahankan keharmonian dan kerjasama.
“Jika mereka datang berbincang dengan baik, kami pasti sambut dengan baik. Kami dididik dan dilatih untuk berpolitik secara matang.
Tapi jika mereka pilih untuk bertempur, maka apa lagi pilihan yang kita ada?
“Dalam tempoh terdekat, pimpinan PH akan adakan rundingan lanjut. Bukan sahaja mengenai Johor atau Negeri Sembilan, tetapi kita juga berfikir secara serius tentang masa depan keseluruhan kerajaan.
“Namun jika begini cara BN menjalin hubungan – memperkotak-katik dan memecah belah, kami juga perlu mempertimbang kemungkinan untuk terus mengadakan pilihan raya umum seluruh negara.
“Keputusan besar seperti tarikh pilihan raya adalah keputusan Perdana Menteri. Namun begitu kami juga perlu saling mendengar pandangan dan nasihat daripada rakan-rakan pimpinan yang lain terlebih dahulu.
“Apa yang penting sekarang, BN Johor telah buat pengumuman. Keadaan Negeri Sembilan juga hampir pasti. Melihat sikap BN di dua negeri ini, hampir pasti kita akan lawan habis-habisan di semua kawasan.
“Lawan tetap lawan.Lawan sampai menang. Membujur lalu, melintang patah,” tegasnya.



