CoA wajib untuk lima jenis sayuran import berkuat kuasa mulai 1 Jun ini

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Mulai 1 Jun ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis atau Certificate of Analysis (CoA) bagi lima jenis sayuran import iaitu cili merah, timun, tomato, sayur sawi dan kubis.

KPKM dalam kenyataan berkata langkah ini dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya dalam memastikan sayuran import yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Katanya, pelaksanaan syarat CoA ini akan dibuat secara bersepadu melalui kerjasama antara Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.

“Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan ini berjalan lancar, tanpa menjejaskan kestabilan bekalan sayuran dalam negara.

“KPKM kekal komited dalam memastikan tahap keselamatan, sekuriti dan kualiti
makanan negara sentiasa terjamin demi kesejahteraan rakyat Malaysia, ”katanya lagi.

Ujarnya, maklumat lanjut mengenai panduan permohonan CoA akan dimuat naik di laman sesawang rasmi KPKM dalam masa terdekat dan boleh dirujuk dari semasa ke semasa.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat