KUALA LUMPUR – Ketika pihak lain sibuk dengan perebutan dalaman, Sabah perlu kekal stabil dan bersatu.
Menurut Bendahari Umno Sabah, matlamat mereka jelas iaitu mengembalikan hak Sabah dan memastikan ia dilindungi dalam kerangka Perlembagaan.
“Landskap politik di Semenanjung Malaysia kekal dinamik. Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli keluar parti dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia adalah perkembangan terkini.
“Pada masa sama, Parti Bersatu turut mengalami perubahan dalaman.
“Parti dan pemimpin juga dilihat sibuk merebut jawatan, termasuk persaingan ke arah jawatan Perdana Menteri.
“Naratif yang dibawa masih berkisar soal siapa lebih Melayu dan Islam, atau siapa lebih berbilang kaum.
“Dari perspektif Sabah, perkembangan ini diperhatikan dari jauh dan tidak selari dengan keutamaan kita. Sabah berasaskan sejarah, perjanjian, dan hak yang perlu dihormati,” jelas bekas Ketua Menteri Sabah itu dalam hantaran di Facebooknya.
Kata Salleh, selain hak, keutamaan juga mesti diberikan kepada ekonomi rakyat.
“Ini meliputi peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, dan pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.
“Agenda generasi muda perlu diberi penekanan. Pendidikan yang relevan, latihan kemahiran, akses kepada ekonomi digital, serta peluang keusahawanan perlu diperkukuh. Anak muda bukan sekadar pewaris, tetapi pemacu masa depan Sabah.
“Menjelang PRU, pendekatan Sabah mesti kekal fokus dan berdisiplin. Tidak perlu terheret dalam polemik luar. Agenda kita jelas—kembalikan hak Sabah dan bina ekonomi yang membuka peluang sebenar, khususnya kepada generasi muda,” ujarnya.



