Rafizi, Nik Nazmi masih terikat bon RM10 juta – Fuziah anggap lompat parti

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu Nik Nazmi Nik Ahmad masih terikat dengan bon parti bernilai RM10 juta walaupun mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen sebelum keluar parti.

Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan dipercayai sudah menyertai Parti Bersama Malaysia (MU) lebih awal berdasarkan maklumat di laman sesawang parti berkenaan.

Kata Fuziah, tindakan itu boleh dianggap sebagai lompat parti terlebih dahulu sebelum pengosongan kerusi dibuat pada hari ini sekali gus menyebabkan syarat bon parti masih berkuat kuasa.

“Dengan cara itu mereka mengatakan bahawa Akta Anti Lompat Parti itu tidak terpakai. Tetapi saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk Parti Bersama Malaysia, ‘timestampnya’ 17 hari bulan (semalam).

“Kalau ikut perlembagaan parti, maka mereka sudah pun lompat parti pada 17 hari bulan, sebelum mereka mengosongkan kerusi mereka pada hari ini,” katanya ketika mengulas berhubung isu berkenaan, menurut Harian Metro di Johor Bahru pada Isnin.

Fuziah berkata, PKR menyerahkan perkara berkenaan kepada pasukan peguam parti sebelum sebarang tindakan undang-undang diputuskan.

Katanya, isu tersebut dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR esok termasuk kemungkinan tindakan terhadap kedua-dua kedua-dua bekas pemimpin parti berkenaan.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menegaskan beliau dan Nik Nazmi yang meruapakan Ahli Parlimen Setiawangsa tidak terikat dengan bon RM10 juta yang dikaitkan dengan PKR susulan keputusan mereka meninggalkan parti itu.

Beliau berkata, langkah mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa terlebih dahulu menjadi faktor utama mereka tidak tertakluk kepada tindakan berkenaan.

Menurutnya, bon tersebut hanya terpakai sekiranya seseorang Ahli Parlimen keluar parti dan menyertai parti lain tanpa melepaskan kerusi yang dimenangi atas tiket PKR.

Terdahulu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hadir Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Johor.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat