KUALA LUMPUR, — Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penyaluran dana asing berjumlah lebih RM1.5 juta yang dikaitkan dengan usaha campur tangan politik luar di negara ini.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, AMK memandang serius pendedahan mutakhir berhubung dakwaan pembiayaan asing kepada ahli politik, individu dan pertubuhan tertentu yang dipercayai digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber serta provokasi jalanan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.
Menurut beliau, perkara tersebut bukan lagi sekadar polemik politik biasa, sebaliknya menyentuh soal keselamatan, kedaulatan politik dan kestabilan institusi demokrasi negara.
“Mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahguna pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AMK mendakwa laporan serta maklumat yang beredar ketika ini menyebut wujud transaksi kewangan melibatkan The Tides Foundation yang berpangkalan di Amerika Syarikat kepada sebuah syarikat tempatan, MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd. (MANDIRI).
Menurut dakwaan tersebut, tiga transaksi utama melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM1.5 juta berlaku pada 27 November 2024 berjumlah RM233,322.20, 12 Mac 2025 berjumlah RM658,555 dan 6 Jun 2025 berjumlah RM628,270.
Selain itu, AMK berkata sebanyak tujuh transaksi lain berjumlah RM686,729 turut didakwa dibuat sepanjang tahun 2024 hingga 2025 kepada Amir Hariri Abd Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI.



