PERAK – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi jambatan mobiliti sosial yang mampu mengubah kehidupan generasi muda melalui kemahiran serta peluang pekerjaan lebih luas.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, sebelum meneruskan program Jelajah AIM TVET Perak dan merasmikan Kelab Kemahiran AIM TVET Negeri Perak.
Menurut beliau, Majlis TVET Negara sedang memperkukuh agenda TVET 2.0 dengan memberi tumpuan kepada bidang bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet of Things (IoT), tenaga boleh baharu serta teknologi masa depan lain.
“TVET hari ini merupakan jambatan mobiliti sosial yang mampu mengubah kehidupan generasi muda melalui kemahiran, peluang pekerjaan dan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, sambutan serta minat golongan muda terhadap bidang kemahiran menunjukkan bahawa TVET kini semakin diterima sebagai laluan pendidikan utama yang mempunyai prospek masa depan yang besar.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak serta Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) atas komitmen dalam menggerakkan inisiatif AIM TVET bagi mendekatkan pendidikan kemahiran kepada anak muda.
Beliau turut menegaskan usaha memperkukuh agenda TVET akan terus diperkasa bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu, inovator dan tenaga mahir tempatan yang mampu memacu pembangunan negara.



