KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan Kerajaan Madani supaya mengurus krisis bukan dengan pendekatan pukul rata yakni beranggapan semuanya sama.
Adun Merlimau menegaskan, kerajaan tidak wajar mengurangkan subsidi minyak untuk rakyat yang memerlukan.
Tetapi katanya bertindak menambah subsidi mereka dan ambil dari pihak yang tidak memerlukan seperti golongan yang gajinya berbelas ribu.
“Bila ada yang beritahu,mereka yang berbelas ribu ini pun membayar cukai, ya itu sangat benar,tetapi jika dibandingkan jumlah subsidi petrol sebanyak RM400/sebulan untuk mereka ini dengan mereka yang bergaji RM1700/sebulan sudah tentu kesannya amat besar untuk golongan yang bergaji rendah.
“Jika golongan yang bergaji besar ini merungut bahawa mereka ini adalah penyumbang cukai terbesar juga,mereka juga perlu ingat, jika bukan kerana golongan yang bergaji rendah ini yang menjadi pekerja mereka belum tentu lagi mereka mampu untuk dapat gaji yang besar itu.
“Dan orang yang pertama perlu dipotong subsidi minyak adalah semua wakil rakyat dan boss GLC/GLIC yang dah ada elaun kenderaan beribu nilainya,” saran beliau.
Sebelum itu media melaporkan, Malaysia mungkin akan mengurangkan kuota bulanan bahan api RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kepada 150 liter kerana kerajaan berusaha untuk menjimatkan bekalan bahan api.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Data semasa menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan di bawah ambang yang dicadangkan.
Kerajaan telah mula menurunkan had subsidi bahan api daripada 300 liter kepada 200 liter pada bulan Mac.
“Data menunjukkan secara konsisten bahawa 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter.”
“Langkah seterusnya adalah 150 liter [kerana] 60% daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter,” katanya.



