All Star Influencers Award (ASIA) 2026 kembali lagi tahun ini dengan skala yang lebih besar, lebih meriah dan lebih agresif dalam mempromosikan Malaysia ke mata dunia. Namun, ASIA2026 hari ini bukan lagi sekadar sebuah malam anugerah tahunan, sebaliknya telah berkembang menjadi sebuah platform global yang menghubungkan industri pelancongan, kandungan digital, budaya dan komuniti kreatif antarabangsa. Dalam dunia tanpa sempadan sekarang, ASIA dilihat sebagai jambatan yang menyatukan pelbagai bangsa melalui kuasa media sosial dan penceritaan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Dato’ Abd Rahman Soltan berkongsi perjalanan program ini sejak ia bermula sehingga menjadi antara platform influencer antarabangsa yang semakin dikenali di banyak negara. Di sebalik dunia media sosial yang penuh warna-warni, tersimpan satu misi besar iaitu membawa nama Malaysia lebih jauh merentasi sempadan dan menyampaikan cerita tentang budaya, tempat menarik dan keindahan negara ini kepada dunia.
Menurut beliau, ASIA sebenarnya bermula sekitar tahun 2018 apabila pasukannya mula menjalankan program berkaitan influencer dan media sosial untuk membantu anak muda lebih aktif menghasilkan kandungan digital. Ketika itu, fokus lebih kepada Instagram yang sedang naik dalam kalangan generasi muda. Selepas pandemik COVID-19, mereka menerima cabaran daripada pihak pelancongan untuk membina satu program yang bukan sekadar menghimpunkan influencer, tetapi juga memberi kesan besar kepada industri pelancongan negara.
Dari situ lahirnya All Star Influencers Award (ASIA), sebuah program yang membawa influencer luar negara datang ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman mereka melalui kandungan media sosial. Pada tahun pertama 2023, hanya enam negara terlibat. Tahun 2024 meningkat kepada sembilan negara, dan tahun lalu hampir 20 negara. Untuk edisi 2026, sasaran hampir 22 negara akan turut serta, menjadikan program ini semakin berkembang seperti gelombang yang semakin besar membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Untuk tahun ini, fokus ASIA lebih kepada kempen Visit Malaysia 2026. Hampir 10 negeri terpilih sebagai lokasi utama termasuk Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Pahang dan Sabah. Setiap negeri akan diberi pendekatan promosi yang berbeza supaya kandungan yang dihasilkan tidak sama dan lebih segar setiap kali.
Menurut Dato’ Abd Rahman, pemilihan lokasi dibuat dengan teliti supaya bukan hanya tempat popular yang ditonjolkan, tetapi juga lokasi yang jarang dipromosikan. Kalau tahun lepas sesuatu tempat sudah diketengahkan, tahun ini mereka akan pilih sudut lain supaya dunia dapat melihat Malaysia dari perspektif yang berbeza. Selain lokasi, makanan tempatan dan budaya juga menjadi fokus utama kerana setiap hidangan dan tradisi adalah identiti yang perlu dikenali sebagai milik Malaysia.
Menariknya, ASIA 2026 tidak terlalu bergantung pada jumlah followers seseorang influencer. Bagi mereka, followers yang ramai tidak semestinya memberi impak sebenar. Apa yang lebih penting ialah engagement, kreativiti dan cara seseorang itu bercerita melalui kandungan mereka. Followers boleh dibeli, tetapi kreativiti dan impak kandungan tidak boleh dipalsukan. Dalam dunia digital yang penuh persaingan, keaslian adalah nilai yang paling mahal.
Sebab itu, pemilihan influencer dibuat dengan sangat teliti. Ada yang mungkin tidak terlalu besar dari segi followers, tetapi mempunyai engagement yang tinggi dan sedang meningkat naik dalam dunia digital. Untuk tahun ini, sekitar 120 influencer akan terlibat dengan kira-kira 25 daripadanya dari Malaysia manakala selebihnya dari luar negara.

Sepanjang program, setiap peserta wajib menghasilkan sekurang-kurangnya satu posting di Instagram dan satu di TikTok setiap hari. Dato’ Abd Rahman turut berseloroh bahawa jika ada peserta yang gagal, mereka boleh diarahkan pulang serta-merta. Bagi beliau, ASIA 2026 bukan program percutian, tetapi satu pertandingan yang memerlukan komitmen penuh kerana mereka datang untuk membawa cerita Malaysia kepada dunia.
ASIA2025 sebelum ini mencatat sekitar 1.7 bilion tontonan dengan hashtag rasmi #AllStarInfluencersAward2025. Daripada jumlah itu, TikTok menyumbang sekitar 1.1 bilion tontonan manakala Instagram sekitar 600 juta. Angka ini menunjukkan betapa besar pengaruh media sosial dalam menyampaikan cerita tentang Malaysia kepada dunia.
Beliau percaya walaupun hanya sebahagian kecil daripada penonton tersebut datang ke Malaysia, ia sudah memberi kesan besar kepada ekonomi negara. Bila pelancongan meningkat, banyak sektor lain turut mendapat manfaat seperti hotel, restoran, pengangkutan dan perniagaan kecil.
Dalam pertandingan ini, penilaian bukan hanya berdasarkan jumlah views atau followers, tetapi lebih kepada cara seseorang influencer menyampaikan cerita, kreativiti dalam video dan bagaimana mereka memperkenalkan sesuatu tempat atau makanan. Semua kandungan akan dipantau melalui hashtag khas dan dinilai oleh juri antarabangsa yang terdiri daripada artis, pencipta kandungan dan TikTokers muda.
ASIA2026 juga menawarkan 14 kategori anugerah termasuk Popular Award yang akan dibuka kepada undian awam sebelum malam kemuncak. Sistem undian pula dibuat secara adil berdasarkan peratusan negara supaya semua peserta mempunyai peluang yang seimbang walaupun datang dari negara kecil atau besar.
Pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai USD10,000 bersama pakej percutian luar negara. Sebelum ini, pemenang pernah dibawa ke Dubai dan turut terlibat dalam program antarabangsa lain seperti kejohanan influencer boxing yang dianjurkan oleh ASIA.
Di sebalik semua pencapaian ini, cabaran terbesar yang dihadapi adalah mendapatkan penajaan daripada syarikat besar. Ramai masih belum yakin dengan impak jangka panjang media sosial kerana kebanyakan mereka mahu pulangan segera, sedangkan kesan sebenar media sosial berlaku secara berperingkat dan berpanjangan.
Menutup bicara, Dato’ Abd Rahman berharap ASIA2026 akan berjalan lancar dan mencapai sasaran lebih besar daripada tahun sebelumnya. Lebih penting, beliau berharap program ini dapat terus membawa nama Malaysia ke mata dunia melalui cerita-cerita kreatif yang lahir daripada dunia digital.
Dalam dunia yang bergerak laju hari ini, ASIA2026 hadir sebagai ruang yang menghubungkan budaya, manusia dan cerita tentang Malaysia supaya keindahan negara ini tidak hanya dilihat, tetapi dirasai oleh dunia.



