KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Umno bersikap setiakawan kepada Kerajaan Perpaduan ini dan bukan main tikam belakang, bidas Lim Guan Eng.
Menurut Penasihat DAP itu beliau tetap berpegang dengan pendirian bahawa Umno tidak harus menjadi gunting dalam lipatan, seharusnya balik ke pangkal jalan dengan menyokong Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Kerajaan Perpaduan dengan bertanding bersama dengan PH bukannya bergerak solo menentang calon PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16(PRU16).
“Jangan-jangan Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail lupa bahawa yang mencetuskan masalah besar kali ini bukanlah saya atau parti DAP, bahkan adalah Umno sendiri dengan komplot “merampas kuasa” kerajaan Negeri Sembilan dengan sokongan parti pembangkang PN dan keputusan bergerak solo menentang calon PH dalam PRU yang akan datang.
“Jangan pura-pura jadi mangsa keadaan bila Umno ialah punca kemelut ini.
“Usaha menggulingkan Menter Besar Negeri Sembilan dengan kesemua 14 Adun Umno Negeri Sembilan menarik sokongan dan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan harus dihentikan dengan segera.
“Sekiranya demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik negara, mengapa pula Umno Negeri Sembilan sehingga sekarang masih berdegil kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan? soal Ahli Parlimen Bagan itu.
Kata Guan Eng, sebagai pemimpin senior, Wan Rosdy Wan Ismail patut faham bahawa hanya dengan menyokong pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan barulah berjaya dapat menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Sebagai Menteri Besar Pahang sendiri, beliau patut faham bahawa kekal dan jatuhnya Menteri Besar tidak boleh dipisahkan dengan hidup dan ajalnya sesebuah kerajaan negeri.
“Sekiranya Wan Rosdy letak jawatan sebagai Menteri Besar Pahang sekarang, maka pentadbiran kerajaan negeri pun akan dibubarkan dengan semua ahli Exco hilang jawatan sehingga seorang Menteri Besar menubuhkan kerajaan baru dengan melantik ahli Exco pilihannya.
“Takkan Wan Rosdy jahil dengan peruntukan perundangan asas sedemikian.
“Ini bermakna sekiranya 14 Adun Umno Negeri Sembilan dengan sokongan Adun PN, berjaya memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan meletakkan jawatan maka kerajaan negeri akan tumbang dan jatuh dengan sendirinya di bawah Perlembagaan Negeri dan Persekutuan,” tegas beliau.
Sebelum ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian tidak membantu, malah boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan BN dan PH sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap beberapa isu yang timbul kebelakangan ini.



