Potong gaji MP ponteng Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah, cadang Pemuda Amanah

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah mencadangkan satu mekanisme potongan gaji atau elaun diperkenalkan terhadap Ahli Parlimen yang gagal menghadiri sidang Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah.

Naib Ketua Pemuda Amanah Ammar Atan berkata, sistem sedia ada hanya memberi ganjaran kepada wakil rakyat yang hadir menerusi elaun kehadiran, namun tiada hukuman tegas dikenakan kepada mereka yang ponteng secara berulang.

Ammar berkata tugas utama seorang Ahli Parlimen adalah hadir ke Dewan bagi membawa suara rakyat, membahaskan dasar serta menyemak perjalanan pentadbiran negara.

“Sudah tiba masanya reformasi baharu diperkenalkan termasuk potongan elaun atau gaji secara berkadar berdasarkan kadar kehadiran tahunan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, Pemuda Amanah turut mencadangkan kadar minimum kehadiran Ahli Parlimen ditetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan hari persidangan setahun, kecuali melibatkan urusan rasmi atau kecemasan.

Menurut mereka, peruntukan Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan kerusi dikosongkan selepas enam bulan tidak hadir tanpa kebenaran Dewan dianggap terlalu longgar dan tidak lagi memadai.

Katanya, seseorang wakil rakyat masih boleh mengelak tindakan dengan hanya hadir sekali-sekala sebelum kembali gagal hadir dalam tempoh panjang.

Dalam kenyataan sama, Pemuda Amanah turut mendakwa rekod ketidakhadiran tertinggi ketika ini melibatkan beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

Malah, mereka membandingkan keadaan itu dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan lebih konsisten walaupun memikul tanggungjawab lebih besar dalam mengurus negara dan hubungan antarabangsa.

“Persoalannya, adakah mereka ini lebih sibuk daripada Perdana Menteri?” soal kenyataan itu.

“Kalau kamu dah selalu ponteng, nak kata sibuk pun tidak. Dah mengalahkan PM.

“PMX pun gigih setiap minggu hadir nak PMQT.

“Datang sidang dapat reward, kalau tak datang sama ja. Dah ada jawatan wajiblah amanah dengan mandat rakyat,” tegas beliau.

Pemuda Amanah berkata anak muda mahu politik negara dipimpin dengan Amanah dan rasa tanggungjawab, bukannya budaya ponteng serta mengambil mudah mandat rakyat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat