KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Dato’ Seri Farhash Wafa Salvador menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau mencuri dan mengubah wang haram berjumlah berbilion ringgit ke luar negara termasuk Turki dan Afrika.
Beliau berkata, dakwaan yang dikaitkan dengan satu rakaman video membabitkan dua individu bernama Sofia Rini dan Albert Tei itu adalah tidak benar, tidak berasas serta bersifat fitnah.
Menurut Farhash, beberapa laporan portal berita dalam talian pada 22 April, 23 April dan 5 Mei lalu telah menyiarkan atau mengulangi dakwaan serius terhadap dirinya, termasuk kononnya beliau kini merupakan warganegara Turki.
“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut.
“Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya,” katanya dalam kenyataan media.
Farhash menjelaskan beliau bukan warganegara Turki, tidak pernah terlibat dalam aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti didakwa, selain tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turki.
Beliau turut menegaskan dirinya kini hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak lagi terlibat dalam bidang politik.
“Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik,” katanya.
Sehubungan itu, Farhash berkata beliau telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut, termasuk di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Katanya, beliau juga telah mengarahkan peguam mengambil dan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran dakwaan fitnah tersebut.
Farhash turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan telus.



