NexG bidas syor gantung kontrak kerajaan, dakwa ulasan akademik tidak faham operasi syarikat tersenarai

KUALA LUMPUR,– NexG Berhad membidas cadangan supaya kontrak kerajaan melibatkan syarikat itu digantung atau tertakluk kepada audit forensik, sambil menyifatkan pandangan tersebut sebagai tidak berpijak kepada kefahaman sebenar mengenai operasi syarikat tersenarai awam yang dikawal selia secara ketat.

Dalam kenyataan tegas hari ini, NexG berkata ulasan yang mengaitkan operasi, tadbir urus dan kontrak kerajaan syarikat itu dibuat berdasarkan kefahaman yang tidak lengkap, malah dalam beberapa aspek tidak tepat.

Syarikat itu merujuk beberapa laporan Astro Awani termasuk bertajuk “Skandal NexG: Abu Hanifah Noordin perlu beri maklumat penuh – ahli akademik” dan “Kerajaan wajar gantung, semak semula kontrak NexG – pakar ekonomi” yang memetik pandangan Prof Emeritus Barjoyai Bardai dan Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff.

Menurut NexG, sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, semua keputusan korporat, pengambilalihan dan langkah strategik tertakluk kepada keperluan pendedahan, semakan kawal selia serta kelulusan pemegang saham apabila diperlukan.

“Sebarang cadangan bahawa proses ini telah dipintas adalah tidak tepat dari segi fakta,” tegas syarikat itu.

NexG berkata seruan supaya audit forensik dilaksanakan atau kontrak kerajaan digantung bukan perkara kecil, sebaliknya merupakan campur tangan kawal selia yang serius dan tidak boleh dicadangkan secara mudah berdasarkan sangkaan, andaian atau spekulasi awam.

Syarikat itu menegaskan tindakan sedemikian hanya wajar dipertimbangkan berasaskan bukti salah laku yang boleh dipercayai, bukannya berdasarkan tafsiran longgar terhadap laporan kewangan atau isu lampau yang telah pun dilaporkan kepada umum.

NexG turut memberi amaran bahawa cadangan tidak bermaklumat seperti itu boleh menimbulkan kebimbangan tidak perlu dalam pasaran serta menjejaskan keyakinan terhadap projek infrastruktur nasional.

Mengenai isu kerugian nilai saksama, NexG menjelaskan perkara itu adalah pelarasan perakaunan bukan tunai mengikut piawaian pelaporan kewangan dan tidak boleh disamakan dengan kehilangan dana atau penyelewengan wang.

“Sebarang cubaan untuk menggambarkannya sebaliknya adalah mengelirukan,” kata syarikat itu.

Pengerusi Eksekutif NexG, Datuk Ishak Ismail berkata, syarikat menghormati peranan ahli akademik dalam wacana awam, namun ulasan terhadap industri terkawal dan syarikat tersenarai perlu dibuat berdasarkan kefahaman jelas terhadap kerangka undang-undang serta peraturan yang terpakai.

Menurut beliau, NexG bertanggungjawab sepenuhnya kepada pemegang saham dan pengawal selia, manakala semua tindakan syarikat tertakluk kepada pematuhan, pendedahan dan kelulusan yang ketat.

“Seruan supaya audit forensik atau penggantungan kontrak dibuat tanpa asas yang disokong bukti berisiko mewujudkan kekeliruan tidak perlu dan tidak mencerminkan bagaimana proses sedemikian ditadbir,” katanya.

Ishak turut menegaskan NexG kini berada di bawah lembaga pengarah baharu dengan mandat jelas untuk beroperasi berasaskan integriti, ketelusan dan disiplin.

Katanya, isu-isu lampau telah ditangani dan syarikat kini memberi tumpuan kepada usaha bergerak ke hadapan serta terus menyokong kerajaan dan melindungi kepentingan nasional dengan tahap profesionalisme tertinggi.

NexG, yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Berhad, merupakan penyedia penyelesaian teknologi keselamatan bersepadu dan terlibat dalam projek-projek kritikal negara termasuk MyKad, pasport elektronik patuh ICAO, autogate biometrik, pengecaman wajah, kad pintar kewangan serta sistem keselamatan dan pengawasan.

Syarikat itu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 2012 dan menegaskan komitmennya terhadap tadbir urus korporat, pematuhan kawal selia, integriti operasi serta sokongan kepada infrastruktur keselamatan negara.

NexG turut menggesa semua pihak supaya bergantung kepada fakta yang disahkan dan pendedahan rasmi sebelum membuat kenyataan awam yang boleh memberi kesan kepada reputasi syarikat, keyakinan pelabur dan kepentingan strategik negara. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat