KUALA LUMPUR – Menarik sokongan sehingga menjatuhkan kerajaan sendiri, itulah tebuk atap yang sebenar skrip lama yang rakyat sudah muak, sejak episod Langkah Sheraton.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Danish Hairuddin menegaskan, sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan (PH) di Selangor meneliti semula secara serius kedudukan Umno/Barisan Nasional (BN) dalam struktur kerajaan negeri termasuk peranan dalam pentadbiran, agensi, dan kedudukan strategik yang dikongsi bersama.
Kata Danish, kerjasama politik tidak boleh bersifat sebelah pihak,tetapi mesti berteraskan kejujuran, disiplin dan kesetiaan kepada mandat rakyat dan rakan gabungan.
“Jika ada pihak yang terus bermain dua wajah di mana di satu negeri bekerjasama di negeri lain menggugat kestabilan maka penilaian semula adalah sesuatu yang wajar dan perlu dilakukan,” tegas beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Danish, kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh yang kononnya mahu bercakap soal jangan tebuk atap sebenarnya kedengaran cukup sinis.
“Rakyat masih ingat siapa yang pernah mencorakkan politik pintu belakang dan merobek mandat yang diberikan. Jangan terlalu ghairah menunjuk jari, sedangkan sejarah sendiri belum diselesaikan.
“Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan melalui proses demokrasi. Kerajaan yang terbentuk hari ini bukan hasil rundingan gelap, tetapi hasil mandat jelas melalui gabungan PH bersama Umno/BN.
“Maka, secara asas sepatunya tidak timbul isu Umno/BN akan menarik sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan. Perkara ini tidak akan berlaku “at the first place” jika Umno/BN mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.
“Jika ada sebarang perbezaan pandangan, salurannya adalah rundingan dan perbincangan bukan ugutan politik atau percaturan politik belakang.
“Itulah asas kerajaan perpaduan yang matang dan semangat setiakawan,” katanya.
Danish berkata lagi, menarik sokongan sehingga menjatuhkan kerajaan sendiri sama dengan corak politik seperti ini juga boleh dilihat dalam episod tertentu di negeri lain termasuk Perlis bukan sesuatu yang asing, tetapi jelas tidak bermaruah.
“Namun, isu ini tidak boleh dilihat terasing. Ia memberi kesan langsung kepada dinamika politik di Selangor. Sebagai negeri teras pentadbiran reformasi, Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh mengambil mudah soal kepercayaan dan kesetiaan dalam gabungan.
“Selangor sebagai negeri yang maju dan penyumbang utama ekonomi negara tidak boleh dikompromi dengan permainan politik yang tidak konsisten. Data menunjukkan Selangor menyumbang lebih 25 peratus kepada KDNK negara ini bukan negeri kecil yang boleh dijadikan medan eksperimen politik. Kestabilan di Selangor adalah kestabilan ekonomi Malaysia.
“Lebih penting, rakyat hari ini tidak lagi menilai sekadar janji tetapi mereka menilai konsistensi setiap tindak tanduk parti politik.
“Mereka mahukan kerajaan yang stabil, yang memberi fokus kepada ekonomi dan kesejahteraan hidup, bukan kerajaan yang terganggu dengan permainan politik bidak catur sesama rakan gabungan,” katanya.



