Lenggong, Sarawak Delta diiktiraf UNESCO Global Geoparks ketiga dan keempat Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 April — Lenggong Geopark di Perak dan Sarawak Delta Geopark di Sarawak kini secara rasmi diiktiraf sebagai UNESCO Global Geoparks (UGGp), menjadikannya geopark ketiga dan keempat Malaysia menerima pengiktirafan berprestij itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata pengiktirafan tersebut dimuktamadkan oleh Lembaga Eksekutif UNESCO pada 23 April lalu di Paris, bersama 12 geopark lain dari seluruh dunia.

Menurut beliau, penyerahan sijil rasmi secara fizikal pula telah berlangsung pada 27 April 2026 di lokasi yang sama.

“Dengan pengiktirafan ini, Malaysia kini mempunyai empat UNESCO Global Geoparks selepas Langkawi UGGp dan Kinabalu UGGp.

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam jaringan geopark global, di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan lapan Geopark Kebangsaan yang sedang diperkasa sebagai calon berpotensi ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arthur berkata Lenggong Geopark yang meliputi kawasan seluas 2,248 kilometer persegi terletak di antara Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang serta mempunyai nilai saintifik dan warisan yang luar biasa.

Katanya, kawasan itu juga merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 yang memaparkan lebih 1.8 juta tahun sejarah manusia melalui penemuan arkeologi.

Dari sudut geologi, Lenggong Geopark menyimpan bukti aktiviti volkano Gondwana melalui Tuf Lawin serta batuan suevit yang terhasil akibat impak meteorit kira-kira 1.83 juta tahun lalu.

Selain itu, kawasan berkenaan turut merekodkan mendapan abu letusan Gunung Berapi Mega Toba paling tebal di luar Sumatera, iaitu melebihi 10 meter.

Sementara itu, Sarawak Delta Geopark pula meliputi kawasan seluas 3,112 kilometer persegi di bahagian barat Sarawak dan menonjolkan kepelbagaian geologi kompleks dalam Sistem Orogeni Tethyside.

Geopark itu merangkumi Zon Sutura Kuching, iaitu zon pertembungan dua blok daratan purba, Blok Borneo Barat dan Blok Borneo Barat Daya yang berasal daripada superbenua purba Gondwana.

Menurut Arthur, Sarawak Delta Geopark juga menjadi bukti penting proses putaran lawan jam Pulau Borneo serta pembentukan laut purba Proto-South China Sea.

Beliau berkata pengiktirafan itu dijangka memberi impak signifikan kepada negara, termasuk meletakkan Lenggong UGGp dan Sarawak Delta UGGp sebagai destinasi geopelancongan bertaraf dunia yang berpotensi menarik pelancong serta penyelidik antarabangsa.

Katanya, ia juga akan membantu memastikan pemeliharaan warisan geologi negara dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa UNESCO, selain menjana peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat melalui aktiviti geopelancongan dan pembangunan berasaskan alam semula jadi.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara dan mengurus kawasan yang mempunyai nilai warisan geologi kepentingan antarabangsa secara mampan.

“Usaha ini selaras dengan Agenda Pembangunan Negara serta Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mendukung aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan dan hormat terhadap warisan budaya,” katanya.

Arthur turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak, Kerajaan Negeri Sarawak, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Perak, Majlis Daerah Lenggong, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, agensi teknikal, institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat.

Katanya, NRES akan terus komited memperkasa pembangunan geopark negara serta menggalakkan lebih banyak Geopark Kebangsaan diangkat ke peringkat global bagi memartabatkan warisan geologi Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat