KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PKR (AMK) Kamil Abdul Munim menyifatkan tindakan Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun umpama “menebuk kapal” kerajaan perpaduan.
Beliau yang juga Setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh yang menafikan parti itu bekerjasama dengan PN untuk menubuhkan “kerajaan pintu belakang” di Negeri Sembilan.
“Mandat rakyat untuk Negeri Sembilan (NS) dalam PRN 2023 jelas buat gabungan PH-BN.
“Kau tebuk kapal perpaduan ini maksudnya kau secara terang-terangan mengkhianat mandat rakyat di NS.
“So Akmal, enough of this foolishness. Respect the people and don’t be arrogant.(Jadi Akmal, cukuplah dengan kebodohan ini, hormatilah rakyat dan jangan angkuh),” katanya di X pada Selasa.
Terdahulu, Akmal dalam satu kenyataan semalam menafikan Umno bekerjasama dengan PN untuk menubuhkan “kerajaan pintu belakang” di Negeri Sembilan.
Tegas Akmal langkah itu bukan untuk “menebuk atap dan gila jawatan,” tetapi kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH.
“Saya kekal dengan prinsip saya sejak dari dulu lagi, untuk Umno tarik sokongan dari kerajaan perpaduan dan jadi pembangkang yang bermaruah ataupun kita hadapi pilihan raya bukan dengan cara menubuhkan kerajaan secara tebuk atap,” kata Adun Merlimau itu.
Semalam, seramai 14 Adun BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Tindakan itu diambil beberapa hari selepas berlaku krisis adat di negeri itu, apabila Undang yang empat menarik sokongan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
PN kemudian mengumumkan sedia bekerjasama dengan Umno melalui surat yang dihantar kepada parti itu secara serahan tangan.



