Pengerusi BN Negeri Sembilan tunggu perkenan menghadap Yang di-Pertuan Besar untuk serah SD

SEREMBAN,— Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias difahamkan sedang menunggu perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi menyerahkan akuan bersumpah sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sumber memberitahu SuaraTV, akuan bersumpah itu membabitkan 19 ADUN daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Jalaluddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Menurut sumber itu, dokumen berkenaan dijangka dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebaik sahaja perkenan menghadap diperoleh.

“Makluman permohonan untuk mengadap dan menyampaikan akuan bersumpah sokongan telah dikemukakan kepada Setiausaha Sulit Yang Di-Pertuan Besar.“

“SD itu menunjukkan 19 ADUN menyokong Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” kata sumber itu.

Sumber sama berkata, akuan bersumpah berkenaan turut dijangka dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Undang Yang Empat sebagai makluman rasmi berhubung kedudukan majoriti terbaharu dalam DUN Negeri Sembilan.

Katanya, langkah itu penting bagi menolak dakwaan bahawa Datuk Seri Utama Aminuddin Harun masih boleh terus mentadbir sebagai Menteri Besar minoriti.

“Apabila 19 ADUN sudah menandatangani SD menyokong calon Menteri Besar baharu, isu kerajaan minoriti tidak lagi berbangkit.

“Ini bukan sekadar penarikan sokongan, tetapi sokongan bertulis kepada seorang calon Menteri Besar yang mempunyai majoriti,” katanya.

DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi, dengan Pakatan Harapan memegang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PN lima kerusi.

Gabungan sokongan 14 ADUN BN dan lima ADUN PN menjadikan blok berkenaan memiliki 19 kerusi, iaitu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu, lima ADUN PN Negeri Sembilan mengumumkan sokongan kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu selepas 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Aminuddin.

Lima ADUN PN itu diketuai Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga ADUN Labu.

Empat lagi ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting), Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).

Sementara itu, Jalaluddin yang juga ADUN Pertang merupakan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan dan Pengerusi BN negeri.

Perkembangan terbaharu ini dijangka meningkatkan tekanan terhadap Aminuddin, khususnya selepas majoriti ADUN didakwa telah menyatakan sokongan secara bertulis kepada Jalaluddin untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat