SEREMBAN,— Pemuda UMNO Negeri Sembilan mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun supaya segera memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuktikan sama ada beliau masih mempunyai sokongan majoriti ADUN.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, rakyat perlu membuka mata terhadap realiti politik semasa Negeri Sembilan selepas blok pembangkang kini didakwa mempunyai 19 kerusi berbanding Pakatan Harapan yang hanya memiliki 17 kerusi.
Menurut beliau, tidak timbul soal UMNO Negeri Sembilan “gila kuasa” selepas 14 ADUN Barisan Nasional menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Sebaliknya, beliau berkata UMNO sedar bahawa parti itu boleh menjadi pembangkang sekiranya menarik sokongan daripada kerajaan negeri, namun keputusan itu dibuat atas prinsip dan kepentingan kestabilan negeri.
“UMNO Negeri Sembilan sememangnya sedar bahawa dengan hanya 14 kerusi DUN yang dimiliki UMNO akan menjadi pembangkang andai menarik sokongan dari kerajaan dan UMNO telah bersedia menjadi pembangkang.
“Tidak timbul juga soal UMNO gila kuasa kerana ini adalah soal bagaimana orang gila boleh memegang kuasa kerajaan melalui 17 kerusi DUN manakala pembangkang mempunyai 19 kerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fadil berkata, dakwaan bahawa Menteri Besar masih boleh terus mentadbir walaupun hanya mempunyai 17 kerusi perlu diuji melalui sidang DUN.
Katanya, kini kuasa berada pada Menteri Besar untuk memanggil sidang DUN bagi membolehkan rakyat melihat sama ada Aminuddin benar-benar berani membuktikan sokongan yang dimilikinya.
“Kini kuasa di tangan Menteri Besar untuk memanggil sidang DUN.
“Rakyat Negeri Sembilan boleh melihat sekali lagi sama ada Menteri Besar akan segera memanggil untuk sidang DUN atau tidak,” katanya.
Beliau turut mengaitkan perkembangan itu dengan kenyataan Undang Yang Empat yang sebelum ini dilaporkan mendakwa Menteri Besar berbohong dalam krisis politik dan adat negeri tersebut.
“Tidak hairanlah kenapa YTM Undang Yang Empat mengatakan bahawasanya Menteri Besar berbohong kerana demi untuk mengekalkan kuasa rakyat telah tertipu dengan angka 17 dan 19,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mohamad Fadil turut menyindir Pakatan Harapan dengan mendakwa parti itu sejak PRU14 dan PRU15 mempunyai kepakaran membina naratif yang mengelirukan rakyat.
“Semenjak dari PRU14 dan PRU15, kepakaran PH adalah memperbodoh-bodohkan rakyat dengan naratif serta fitnah jahat sehingga ramai yang terpedaya dan terpesona,” katanya.
Kenyataan Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu dibuat ketika krisis politik negeri semakin memuncak selepas 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Aminuddin, diikuti lima ADUN Perikatan Nasional menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
Gabungan 14 ADUN BN dan lima ADUN PN menjadikan blok berkenaan mempunyai 19 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Pakatan Harapan pula mempunyai 17 kerusi.
Perkembangan itu meletakkan kedudukan Aminuddin dalam tekanan apabila beliau didakwa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai Menteri Besar.



