Bekas pegawai Rafizi, James Chai hadir ke SPRM bantu siasatan projek semikonduktor, 2 bulan dijejaki

KUALA LUMPUR – Selepas dua bulan dijejaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akhirnya penganalisis politik, James Chai hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, hari ini untuk memberi keterangan membantu siasatan berkaitan projek semikonduktor disokong kerajaan bernilai RM1.11 bilion.

Bekas Pembantu Tugas-tugas Khas (Dasar) kepada bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli itu tiba jam 9.59 pagi tadi dengan memakai baju putih dan berada di tempat penumpang sebuah Proton Persona berwarna putih, lapor BH di Putrajaya pada Selasa.

Beliau dilihat masuk ke dalam pejabat SPRM bersama beberapa individu yang tidak dapat dipastikan sama ada mereka ahli keluarga atau peguamnya.

Sejak awal Mac lalu, Chai yang menetap di London dicari oleh SPRM sebelum agensi itu menerima surat daripada peguam bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan bahawa lelaki itu tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan atas alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

SPRM kemudiannya mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac, memberi lanjutan masa untuk Chai hadir pada 31 Mac lalu, namun beliau sekali lagi gagal hadir.

Sehubungan itu, SPRM mengeluarkan surat susulan menetapkan bahawa beliau perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dengan suruhanjaya berkenaan bersedia menanggung kos penerbangannya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

SPRM ketika itu turut akan menimbang mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa, termasuk INTERPOL atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.

Berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan, setakat ini seramai 17 saksi dirakam percakapan yang membabitkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam pada itu, firma guaman, Kesavan Advocates & Solicitors yang mewakili Chai, dalam kenyataan, memaklumkan segala urusan kepulangan anak guam mereka telah diatur selepas mendapat kelulusan majikan di London dan pihaknya berkomunikasi dengan SPRM bagi memudahkan proses siasatan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat