BN Negeri Sembilan tarik sokongan terhadap Aminuddin, nyatakan sokongan kepada institusi adat

SEREMBAN, – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hari ini menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, selepas mendakwa beliau gagal menangani krisis adat dan perlembagaan yang sedang melanda negeri itu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, bersama 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang lain.

Dengan perkembangan itu, kesemua 14 ADUN BN tidak lagi menyatakan sokongan kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

BN Negeri Sembilan turut menyatakan sokongan kepada institusi adat negeri.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat selepas BN Negeri Sembilan berpandangan Aminuddin gagal mengurus krisis berkenaan secara berhemah, selain didakwa tidak memaklumkan rakan gabungan BN lebih awal mengenai perkembangan penting yang berlaku.

BN juga difahamkan tidak berpuas hati apabila beberapa keputusan besar berkaitan krisis negeri dibuat tanpa perbincangan awal bersama ADUN-ADUN BN yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Tindakan itu sekali gus meletakkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis majoriti baharu.

DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi keseluruhan. PH ketika ini mempunyai 17 kerusi, BN 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memiliki lima kerusi.

Berdasarkan komposisi itu, PH tidak lagi mempunyai sokongan majoriti mudah sekiranya BN benar-benar menarik balik sokongan terhadap Aminuddin. Majoriti mudah dalam DUN Negeri Sembilan memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi.

Gabungan BN dan PN pula secara matematik mempunyai 19 kerusi, iaitu jumlah minimum untuk membentuk majoriti mudah dalam DUN.

Bagaimanapun, setakat ini belum jelas sama ada langkah BN itu hanya terhad kepada penarikan sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar, atau turut membawa maksud BN keluar daripada kerjasama kerajaan negeri bersama PH.

Perkembangan ini berlaku ketika Negeri Sembilan masih bergelut dengan krisis adat dan perlembagaan negeri susulan ketegangan antara Istana Seri Menanti, Undang Yang Empat dan kerajaan negeri.

Sebelum ini, persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan ke satu tarikh baharu selepas Istiadat Pembukaan Persidangan DUN berlangsung dalam suasana luar biasa apabila kerusi Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak diisi.

Krisis terbaharu ini dijangka membuka persoalan besar terhadap kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar, sama ada beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti ADUN atau perlu menghadap pihak berkuasa negeri bagi menentukan langkah seterusnya.

Dalam PRN 2023, kerajaan negeri dibentuk hasil kerjasama PH dan BN selepas PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PN lima kerusi. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat