Tiada paksaan hadiri festival muzik air, rasa tak sesuai jangan datang – King Sing

KUALA LUMPUR – Bantahan segelintir pihak terhadap Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave yang bakal berlangsung pada 30 April hingga 2 Mei 2026 ini adalah sangat keterlaluan, tidak tepat serta bersifat umum, dan tidak wajar digunakan untuk mengelirukan orang ramai atau menimbulkan keresahan sosial yang tidak perlu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, penyertaan dalam acara ini adalah secara sukarela.

Ujar beliau, jika ada yang merasakan tidak sesuai, mereka boleh sahaja memilih untuk tidak menyertainya, tetapi tidak wajar menafikan pilihan orang lain atau memaksakan kehendak sendiri ke atas pihak lain.

“Acara berkenaan merupakan projek pelancongan bandar yang dilaksanakan di bawah pemantauan ketat dan perancangan rapi, bukannya seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak sebagai acara “tidak terkawal” atau “tidak teratur”.

“Pandangan mana-mana parti politik atau individu tidak seharusnya diperbesarkan menjadi isu masyarakat, apatah lagi dijadikan sebagai isu perkauman dan agama,” kata King Sing dalam kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, Malaysia ialah sebuah negara majmuk berbilang kaum dan agama.

“Sebarang perbincangan awam mestilah bersifat rasional dan saling menghormati, bukannya emosi yang membesar-besarkan perbezaan dan mencetuskan perpecahan.

“Jika setiap perkara mahu dipolitikkan dan dikaitkan dengan kaum serta agama, bagaimana negara dapat memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi? Bagaimana negara kita boleh maju?

“Sekali lagi diingatkan bahawa 𝐨𝐛𝐣𝐞𝐤𝐭𝐢𝐟 𝐚𝐜𝐚𝐫𝐚 𝐢𝐧𝐢 𝐚𝐝𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐦𝐩𝐫𝐨𝐦𝐨𝐬𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐮𝐧𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐝𝐚𝐲𝐚 𝐦𝐚𝐣𝐦𝐮𝐤 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚, termasuk budaya makanan pelbagai kaum, seni tradisional dan kraf tangan, sekali gus mempamerkan kepelbagaian dan kekayaan identiti negara.

“Tujuan asal acara tersebut tidak seharusnya diputarbelitkan.

“Malah pihak penganjur juga tidak pernah dan tidak akan menggalakkan sebarang tingkah laku yang bercanggah dengan nilai masyarakat. Semua acara awam dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan norma sosial,” jelasnya.

King Sing memberitahu, mana-mana parti atau kumpulan tidak seharusnya membuat tuduhan sesuka hati dan membesar-besarkan perkara yang tidak perlu, apatah lagi sengaja menimbulkan isu sehingga menjadikan acara yang asalnya sederhana sebagai polemik politik.

“Saya berpandangan bahawa tidak wajar untuk mana-mana pihak terus mencetuskan kontroversi sehingga mempengaruhi persepsi masyarakat secara negatif, dan berharap agar sesetengah ahli politik, parti serta kumpulan berkaitan tidak sewenang-wenangnya mengalihkan fokus kepada isu seperti batas pergaulan antara lelaki dan wanita.

“Jika mengikut logik sedemikian, kedai, jalan raya dan ruang awam yang sentiasa digunakan orang ramai, adakah semuanya perlu dihentikan operasinya apabila orang ramai bersentuhan antara satu sama lain? Adakah semuanya perlu dipersoalkan?

“Contohnya, kita sering menaiki pengangkutan awam, ke pasar raya dan pusat beli-belah; pada waktu puncak, jarak antara individu pasti rapat yang tidak dapat dielakkan dan kadangkala berlaku sentuhan.

“Bagaimana situasi ini harus ditafsirkan? Begitu juga, tidak kira ruang seluas mana, apabila jumlah orang ramai meningkat, ia tetap menjadi sesak.

“Jika kerana bimbang berlaku sentuhan kita terus mengelakkan ruang awam, bagaimana masyarakat dapat berfungsi? Kewujudan ruang awam adalah untuk kegunaan rakyat.

“Selagi ada peraturan dan ketertiban yang munasabah, maka orang ramai seharusnya boleh menggunakan ruang ini secara normal agar kehidupan masyarakat dapat bergerak dengan lancar. Itulah yang perlu kita beri perhatian,” tegasnya mempertahankan.

Tambahan pula kata King Sing lagi, berhubung dakwaan bahawa acara tersebut akan menjejaskan operasi bandar, saya ingin menjelaskan bahawa segala pengaturan telah dibincangkan melalui beberapa mesyuarat antara jabatan dan telah mencapai persetujuan semua pihak berkaitan.

“Semua perincian telah dirancang dengan teliti, dan tidak timbul isu “tidak munasabah” atau “tidak sensitif”.

“𝐊𝐞𝐫𝐣𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐚𝐧 𝐚𝐰𝐚𝐥 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐦𝐞𝐥𝐢𝐛𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐮𝐭𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐣𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐰𝐚𝐤𝐭𝐮 𝐭𝐞𝐧𝐠𝐚𝐡 𝐦𝐚𝐥𝐚𝐦, 𝐛𝐮𝐤𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐝𝐚𝐤𝐰𝐚 𝐬𝐞𝐥𝐚𝐦𝐚 𝟏𝟏 𝐡𝐚𝐫𝐢. Notis awal juga telah dikeluarkan melalui akhbar dan saluran-saluran lain bagi membolehkan orang ramai membuat persediaan sewajarnya, justeru tidak perlu mencari kesalahan yang tidak berasas,” ujarnya.

Pada masa sama kata beliau, kawasan penganjuran merupakan lokasi komersial dan pelancongan yang sememangnya aktif dengan jumlah pengunjung harian yang tinggi serta suasana yang meriah.

“Oleh itu, dakwaan mengenai gangguan bunyi yang berlebihan adalah tidak berasas. Penganjuran acara di lokasi sedemikian adalah satu pengaturan yang wajar. Sebarang acara bandar berskala besar perlu mencapai keseimbangan antara pembangunan dan ketertiban; ini bukan sahaja merancakkan suasana bandar, malah merupakan langkah penting dalam memacu ekonomi.

“Dalam keadaan global yang masih tidak menentu ketika ini, usaha memperkukuh ekonomi negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada rakyat perlu dipertingkatkan.

Acara berskala besar berperanan sebagai platform penting dalam merangsang kehadiran orang ramai dan perbelanjaan, khususnya memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana serta golongan B40 melalui peluang ekonomi, sekali gus meningkatkan pendapatan dan menjamin kelangsungan hidup.

“Kita tidak boleh pada satu pihak menuntut pertumbuhan ekonomi, tetapi pada masa yang sama menolak usaha yang mendorongnya.

“Ditegaskan bahawa tafsiran mana-mana individu atau parti politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan fungsi keseluruhan ruang awam, kerana hal ini hanya akan menjadikan suasana masyarakat dan negara semakin tegang serta tidak sihat.

“Ditekankan bahawa pembangunan negara dan kemajuan masyarakat mesti berteraskan rasionaliti, relevan dan saling menghormati, bukannya terus mencipta isu, membesar-besarkan perbezaan dan mempertahankan momentum pembangunan.

“Saya berharap semua lapisan masyarakat dapat bersatu serta mengamalkan sikap toleransi demi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus terpelihara,” kata King Sing.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat