Hannah Yeoh tak tahu Najib fail permohonan pengampunan baharu

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyatakan pihaknya tidak mengetahui mengenai tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memfailkan permohonan pengampunan baharu kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Justeru Hannah berkata, pihaknya enggan mengulas mengenai perkara itu kerana tidak mempunyai butirannya.

“Saya tidak mempunyai butiran sekarang, jadi saya tidak mahu mengulas mengenainya,” katanya selepas menyerahkan sijil pemilikan unit kediaman Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, lapor BH pada Khamis.

FMT sebelum ini memetik sumber melaporkan, Najib yang kini sedang dipenjara telah memfailkan permohonan baharu untuk pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Sumber itu dilaporkan berkata, permohonan itu dibuat semasa Ramadan, dengan satu salinan turut dihantar kepada Istana Negara.

Najib sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun, sumber itu tidak nyatakan sama ada permohonan itu hanya membabitkan kes SRC International Sdn Bhd, kes 1MDB, atau kedua-duanya sekali, namun ia memohon supaya Najib dibebaskan daripada semua kesalahan jenayah.

Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman, serta mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB).

Lembaga FTPB dianggotai oleh peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan sehingga tiga lagi ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah, seperti yang didakwanya selaras dengan titah adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Najib yang berhujah kerajaan wajib melaksanakan perintah berkenaan, kini sedang membuat rayuan terhadap keputusan terbabit.

Najib, 72, disabitkan kesalahan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang mula dijalani di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Bagaimanapun, FTPB kemudiannya mengurangkan tempoh penjara kepada enam tahun dan menurunkan denda kepada RM50 juta.

Pada 24 Disember lalu, sebuah lagi Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun yang akan bermula pada 23 Ogos 2028, sejurus selepas hukuman kes SRC International tamat. Beliau turut dikenakan denda kira-kira RM11.4 bilion.

Najib kini merayu keputusan terbabit.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat