SEREMBAN,– Empat Undang Luak bersama Tunku Besar Tampin menasihatkan agar Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Ke-15 yang dijadualkan pada 23 April ini ditangguhkan sementara.
Ketetapan itu dibuat sehingga selesai segala proses adat dan undang-undang berhubung peralihan tampuk pemerintahan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang menurut kenyataan tersebut telah dilantik.
Kenyataan media bersama itu dikeluarkan atas nama Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim Yasin; serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri.
Dalam kenyataan itu, mereka merujuk kepada “sabda pemecatan” Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April 2026, sebelum menegaskan bahawa penangguhan sidang DUN perlu dibuat bagi memberi laluan kepada penyempurnaan proses peralihan pemerintahan menurut Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Mereka turut mendakwa berdasarkan Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Menteri Besar “tiada pilihan selain patuh” kepada kehendak peruntukan tersebut. Kenyataan sama juga menyebut kuasa itu dilindungi di bawah Perkara 71(1) dan 71(2) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 79 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada masa sama, mereka memutuskan secara sebulat suara untuk tidak menghadiri Majlis Perasmian Sidang DUN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung esok.
Kehadiran Undang Yang Empat adalah sebahagian daripada protokol pembukaan sidang DUN Negeri Sembilan.
Kenyataan itu termaktub di Balai Undang Sungei Ujong pada 22 April 2026 bersamaan 4 Zulkaedah 1447 Hijrah. -SuaraTV



