KUALA LUMPUR,– Ketua Wanita Keadilan Pandan, Roasiah Ramli hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menjelaskan status siasatan berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurut beliau, dakwaan serius yang didedahkan sebuah portal tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan tuduhan bahawa Datasonic Group Bhd, kini dikenali sebagai NexG Bhd, didakwa membayar rasuah sebanyak RM500,000 kepada orang tengah yang dikaitkan dengan Rafizi melalui syarikat GFIS (M) Sdn Bhd. Dakwaan itu dikatakan berkait dengan Projek Vending Machine bernilai RM21.1 juta di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Roasiah turut mempersoalkan sama ada siasatan terhadap dakwaan berkenaan masih berjalan, lebih-lebih lagi selepas Rafizi didakwa mengakui pernah bertemu Menteri Dalam Negeri pada Disember lalu dan dimaklumkan akan ada implikasi sekiranya skandal itu terbongkar. Katanya, jika benar tiada apa yang perlu disembunyikan, penjelasan rasmi perlu diberikan kepada rakyat.
Pada 7 April lalu, Rafizi dilaporkan menafikan beliau menerima rasuah RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin bagi tujuan melanjutkan kontrak syarikat tersebut pada 2023. Menurut Rafizi, tuduhan yang dibuat sebuah blog itu hanyalah dakwaan liar dan garis masa yang dikemukakan pula tidak selari dengan realiti semasa ketika itu. Beliau juga menegaskan tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau mana-mana wakil NexG, selain tidak mengenali Mohd Harizan Haris daripada GFIS Sdn Bhd yang dinamakan dalam dakwaan berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Roasiah turut menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, susulan dakwaan bahawa beliau ada memberi kenyataan Rafizi mempunyai kaitan dengan skandal itu. Katanya, jika benar wujud maklumat sedemikian, ia tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa penjelasan rasmi kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai jumlah cukai yang dibayar Rafizi selepas bekas Menteri Ekonomi itu mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM18,851,350. Dalam masa sama, Roasiah mendakwa Rafizi tidak wajar berdiam diri apabila dirinya sendiri dipersoalkan, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berdepan tekanan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup.
Roasiah juga mendakwa sokongan politik terhadap Rafizi semakin merosot selepas kekalahannya dalam pemilihan PKR 2025 kepada Nurul Izzah Anwar, selain mendakwa kedudukannya di peringkat Cabang Pandan turut semakin rapuh apabila usul berkaitan kepercayaan hanya bertahan dengan majoriti tipis. Menurut beliau, di peringkat akar umbi pula, Ketua Kampung dan Ahli Majlis di Pandan dilihat lebih aktif turun padang berbanding Ahli Parlimen kawasan itu sendiri.
Sehubungan itu, Roasiah mengingatkan Rafizi agar memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Ketua Cabang PKR Pandan. Beliau menegaskan mandat rakyat bukan lesen untuk terus berpolitik semata-mata, sebaliknya amanah untuk berkhidmat kepada kawasan.
Sementara itu, ketika dihubungi Utusan Melayu Plus, Roasiah menjelaskan beliau telah mengisytiharkan pendirian tidak menyokong Rafizi semasa Mesyuarat Agung Cabang Pandan, termasuk menyokong usul tidak percaya terhadap Ketua Cabang Pandan. Beliau juga menegaskan akan terus membantu calon Keadilan bagi Parlimen Pandan pada pilihan raya akan datang.



