Isytihar darurat demi tangguhkan PRN adalah salah guna Perlembagaan, bercanggah demokrasi – Hassan Karim

KUALA LUMPUR – Cadangan meng­­­­isytiharkan darurat semata-mata bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka merupakan penya­lahgunaan peruntukan darurat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah tersebut yang dilihat tidak wajar dilaksanakan hanya untuk menangguhkan pilihan raya.

Beliau yang juga pengamal undang-undan berkata, langkah berkenaan juga bersifat oportunis politik dan bercanggah dengan prinsip demokrasi.

“Kuasa penentuan PRN terletak kepada kerajaan negeri yang memerintah manakala Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang memerintah negeri berkenaan bertindak mengikut Perlembagaan masing-masing.

“Kuasa untuk mengisytiharkan darurat merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan A­gong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya menurut Utusan.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mencadangkan kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Cadangan itu dibuat bagi menangguhkan pilihan raya negeri ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan krisis bahan api.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, tiada keper­luan untuk menangguhkan PRN Johor dan Melaka meman­dangkan Malaysia tidak berada dalam keadaan darurat susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Beliau berkata, Pas tidak menyokong cadangan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN kerana tiada keperluan berbuat demikian.

“Situasi semasa berbeza dengan ketika pandemik Covid-19 yang menyaksikan pelaksanaan perintah larangan keluar rumah di seluruh negara, sedangkan keadaan kini tidak menghalang pilihan raya diadakan.

“Tiada negara mengisytiharkan darurat dalam keadaan ekonomi masih berjalan, negara tidak terlibat dalam peperangan serta situasi keselamatan yang terkawal membolehkan rakyat keluar mengundi dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kesan ekonomi akibat konflik global tidak boleh dijadikan justifikasi automatik untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Beliau berkata, Malaysia pernah berdepan krisis ekonomi besar seperti pada 1998 dan 2008, namun tidak pernah menggunakan darurat untuk menangguhkan pilihan raya.

Katanya, Jika setiap ketidaktentuan ekonomi dijadikan alasan darurat, proses demokrasi boleh digantung hampir setiap kali ekonomi berdepan cabaran yang disifatkan tidak masuk akal dalam sistem demokrasi.

“Cadangan DAP untuk menangguhkan PRN menggunakan isytihar darurat atas alasan konflik global adalah tidak kukuh dan bercanggah dengan pendirian sebelum ini yang pernah mendesak penamatan darurat ketika pandemik Co­vid-19 serta membenarkan PRN Melaka dan Johor diadakan walaupun ketika itu wujud risiko kesihatan dan ekonomi.

“Walaupun perang Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran memberi kesan global termasuk gangguan perdagangan, kenaikan harga minyak dan tekanan ekonomi, namun ancaman tersebut perlu dinilai secara rasional serta tidak boleh disamakan dengan ancaman keselamatan dalam negara,” katanya.

Tun Faisal berkata, Malaysia tidak berada dalam keadaan darurat keselamatan kerana konflik tersebut berlaku di Asia Barat tidak melibatkan negara secara langsung dan tidak menimbulkan ancaman ketenteraan.

Katanya, darurat sepatutnya hanya digunakan dalam ke­­­­­ada­an luar biasa seperti ancaman keselamatan domestik atau ke­gagalan sistem pemerintahan.

“Kenaikan harga minyak dan tekanan ekonomi juga tidak memenuhi ambang darurat kerana situasi sama pernah dilalui negara sebelum ini tanpa pengisytiharan darurat.

“Tiada hubungan langsung antara konflik tersebut dengan keperluan menangguhkan PRN kerana pilihan raya negeri me­rupakan proses domestik yang boleh dilaksanakan secara teratur tanpa bergantung kepada keadaan geopolitik luar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat