Cyberjaya – Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail meneruskan tinjauan operasi kawalan sempadan di ICQS Bukit Berapit, yang menjadi antara pintu keluar masuk utama Malaysia-Thailand dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, laluan tersebut merupakan sebahagian daripada 122 pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand yang kini masih di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurutnya, pengoperasian pintu-pintu sempadan itu akan diambil alih secara berperingkat oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam usaha memperkukuh kecekapan serta keberkesanan kawalan sempadan negara.
“Langkah ini penting bagi memastikan pengurusan sempadan lebih tersusun dan responsif terhadap cabaran keselamatan semasa,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut berinteraksi dengan pengguna yang keluar masuk melalui ICQS berkenaan bagi mendapatkan maklum balas serta memahami pengalaman mereka ketika menggunakan laluan tersebut.
Tambah beliau, usaha memperkasakan kawalan sempadan adalah komitmen jelas Kerajaan MADANI dalam membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya melibatkan barangan kawalan.
“Inisiatif ini juga menjadi antara keutamaan Kementerian Dalam Negeri dalam menangani cabaran krisis tenaga global yang turut memberi kesan kepada keselamatan dan ekonomi negara,” katanya lagi.



