PADANG BESAR — Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini turun padang meninjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand susulan kebimbangan terhadap ketirisan bekalan bahan api dalam situasi krisis tenaga global.
Lawatan tersebut dibuat selepas keputusan Jemaah Menteri yang meminta Kementerian Dalam Negeri Malaysia membantu memperkukuh penugasan anggota polis di stesen minyak kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
Menurut beliau, tanggungjawab utama kawal selia bekalan minyak terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, namun peranan KDN melalui Polis Diraja Malaysia amat penting dalam memastikan kawalan lebih berkesan di kawasan berisiko tinggi.
“Saya mulakan pemantauan dari udara, merentasi beberapa lokasi strategik seperti Durian Burung, Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar. Dari atas, kita dapat melihat gambaran besar termasuk laluan panas dan pergerakan mencurigakan,” katanya.
Beliau kemudian meninjau operasi di peringkat bawah dengan melawat Pos Kawalan PGA Jalan Kesban, termasuk lokasi yang sebelum ini dikenal pasti sebagai titik panas penyeludupan namun kini telah berjaya dikawal.
Saifuddin turut memberi jaminan bahawa bekalan minyak negara masih mencukupi setakat ini, namun menegaskan usaha mencegah ketirisan akan terus dipertingkat.
“Dalam keadaan geopolitik semasa yang semakin mencabar, kita akan terus gandakan usaha memastikan sempadan negara kekal terkawal dan kepentingan rakyat terpelihara,” katanya.



