SEOUL, 11 April — Kerajaan Korea Selatan meluluskan pakej bantuan tunai berskala besar bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan krisis harga tenaga akibat konflik di Timur Tengah.
Menurut laporan Korea JoongAng Daily, bantuan tersebut akan disalurkan kepada kira-kira 70 peratus penduduk negara itu, atau sekitar 32.56 juta orang, berdasarkan data pendapatan yang dikemaskini pada 30 Mac lalu.
Jumlah bantuan yang diberikan adalah antara 100,000 won hingga 600,000 won (sekitar RM340 hingga RM2,000) seorang, bergantung kepada tahap pendapatan dan lokasi tempat tinggal penerima.
“Kerajaan akan menyediakan bantuan tunai kepada 70 peratus penduduk untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup yang berkait dengan konflik di Timur Tengah,” menurut laporan Korea JoongAng Daily (11 April 2026).
Bantuan itu akan diberikan secara berperingkat, bermula 27 April untuk golongan rentan termasuk penerima bantuan kebajikan asas dan keluarga ibu bapa tunggal, sebelum diperluaskan kepada kumpulan lain bermula 18 Mei hingga 3 Julai.
Penerima dalam kategori berpendapatan rendah akan menerima jumlah lebih tinggi, termasuk sehingga 550,000 won untuk penerima bantuan kebajikan asas, manakala isi rumah hampir miskin dan keluarga ibu bapa tunggal akan menerima sekitar 450,000 won.
Tambahan pula, mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau kawasan berkurangan penduduk akan menerima tambahan 50,000 won seorang.
Bagi kumpulan 70 peratus penduduk lain, jumlah bantuan berbeza mengikut lokasi, 100,000 won (kawasan metropolitan Seoul), 150,000 won (luar kawasan bandar utama), 200,000–250,000 won (kawasan luar bandar khas)
Kerajaan Korea Selatan turut memaklumkan bahawa warga asing tertentu juga layak menerima bantuan, bergantung kepada status kediaman dan penyertaan dalam sistem insurans kesihatan negara.
Bantuan ini boleh diterima melalui kredit kad, debit kad, kad prabayar atau baucar tempatan, dan perlu digunakan sebelum 31 Ogos.
Selain itu, kerajaan Korea Selatan menegaskan bahawa pakej ini sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menstabilkan ekonomi domestik, termasuk kawalan harga tenaga dan sokongan kepada perniagaan kecil.



