CYBERJAYA — Pelancaran aplikasi MCMC NEXUS oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkasa rakyat dan industri melalui transformasi digital negara.
Aplikasi MCMC NEXUS dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai platform yang membolehkan orang ramai memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kualiti rangkaian telekomunikasi.
Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menjalankan ujian kelajuan Internet, merekod liputan isyarat serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi masing-masing.
Bercakap dalam sidang media sempena pelancaran tersebut, Teo berkata aplikasi berkenaan menyediakan pelbagai fungsi penting termasuk speed test, route survey dan building survey yang membolehkan pengguna menilai kekuatan rangkaian sama ada ketika bergerak di jalan raya atau berada di dalam bangunan.
“Sebagai contoh, apabila pengguna memandu dari satu lokasi ke lokasi lain, aplikasi ini boleh merekod kekuatan isyarat di kawasan yang mungkin tidak berpenduduk. Ini membantu mengenal pasti kawasan liputan lemah dengan lebih tepat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa salah satu keunikan utama MCMC NEXUS ialah ketelusan pengukuran data, di mana titik ukuran yang sama dapat dilihat oleh tiga pihak serentak iaitu pengguna, penyedia perkhidmatan dan pengawal selia.
“Pendekatan ini mengelakkan sebarang pertikaian mengenai ketepatan data kerana semua pihak melihat titik ukuran yang sama pada masa yang sama,” jelas beliau.
Dalam masa sama, Teo memberi jaminan bahawa aplikasi tersebut tidak mengumpul maklumat peribadi pengguna. Semua data yang direkodkan adalah anonim dan hanya melibatkan prestasi rangkaian, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Privasi pengguna kekal dilindungi. Data hanya akan dikongsi dengan MCMC untuk tujuan analisis rangkaian, tanpa mendedahkan identiti individu,” katanya lagi.
Menurut beliau, setakat ini lebih 170 juta titik data telah dikumpulkan melalui penggunaan aplikasi tersebut, sekali gus membantu MCMC dan syarikat telekomunikasi merancang penambahbaikan rangkaian secara lebih bersasar.
Aplikasi MCMC NEXUS turut diuji oleh makmal ujian dan pensijilan bebas yang diakreditasi ISO/IEC 17025, dengan pensijilan rasmi dijangka diperoleh dalam masa terdekat.
Selain itu, MCMC menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), serta beberapa syarikat dan organisasi lain bagi memperluas penggunaan aplikasi dan meningkatkan capaian pengguna di seluruh negara.
Kerjasama ini bertujuan memastikan data yang dikumpulkan mencerminkan keadaan sebenar prestasi rangkaian, sekali gus menyokong pembangunan infrastruktur komunikasi yang lebih cekap, khususnya di kawasan luar bandar.
Orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma melalui platform seperti Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.



