“Pendekatan kerajaan yang masih bersifat “sedang difikirkan” amat membimbangkan” – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Kenyataan kerajaan bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas dengan kenaikan yang keterlaluan ini adalah amat mengelirukan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Presiden Bersatu itu, hal ini kerana ia pastinya menyebabkan kenaikan kos dalam rantaian bekalan dan peningkatan harga barangan keperluan harian rakyat secara mendadak.

Tegas beliau, hakikatnya 100 peratus rakyat terjejas dengan kenaikan harga minyak.

“Pendekatan kerajaan yang masih bersifat “sedang difikirkan” amat membimbangkan.

“Dalam krisis, rakyat memerlukan kepastian, garis masa dan tindakan konkrit bukan sekadar kemungkinan.

“Kerajaan perlu lebih telus dalam menjelaskan kedudukan sebenar ekonomi negara dan strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” ujar beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah bekas Perdana Menteri itu lagi, kelewatan hanya akan meningkatkan ketidakpastian pasaran dan menekan kos sara hidup.

“Kerajaan sepatutnya segera mengaktifkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berstatus krisis yang bersidang secara harian, melibatkan sektor awam dan swasta, bagi memantau perkembangan global dan menyusun tindak balas yang pantas serta bersepadu seperti yang pernah dilaksanakan ketika krisis ekonomi 1997–98, 2008 dan pandemik COVID-19.

“Pakej rangsangan perlu difikir dan dilaksanakan untuk melindungi sektor sektor kritikal dan pemain industri terutamanya PMKS supaya kesan terhadap rakyat dan ekonomi dapat diminimakan.

“Apa yang diperlukan rakyat ialah halatuju ekonomi yang jelas iaitu strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga, serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan,” tegas Muhyiddin.

Dalam saat genting ini katanya, kepimpinan negara mesti tegas dan jelas. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat dan pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis ini.

Beliau berkata demikian merujuk perutusan Khas Perdana Menteri pada 26 Mac 2026 mengesahkan kebimbangan rakyat bahawa keadaan ekonomi semakin mencabar susulan ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah.

“Namun, ia gagal memberikan keyakinan bahawa kerajaan mempunyai pelan yang jelas, tersusun dan segera untuk menghadapi kemungkinan kegawatan global.

“Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi.

“Persoalannya, adakah kerajaan benar-benar bersedia? Soal Muhyiddin.

Beliau menyatakan, langkah seperti penyelarasan BUDI95 dan kawalan diesel dilihat bersifat pentadbiran semata-mata, tanpa menjawab isu asas keterjaminan bekalan tenaga.

“Rakyat berhak mengetahui tahap sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan, serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar.

“Kenyataan bahawa Malaysia berada dalam keadaan “lebih baik” juga tidak memadai tanpa penjelasan terperinci yang jelas.

“Malah, usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap risiko sebenar terhadap bekalan tenaga negara.

“Untuk lebih telus, bolehkah kerajaan menjelaskan berapakah hasil yang diperolehi oleh Petronas dengan kenaikan harga minyak dunia pada masa ini dan berapa banyak yang boleh dikembalikan kepada rakyat dengan cara mengawal kenaikan harga minyak supaya tidak keterlaluan? Soalnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat