GEORGE TOWN — Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan negeri Penang menggubal formula baharu bagi pengiraan cukai tanah (quit rent) yang disifatkannya lebih adil dan munasabah kepada rakyat.
Menurut beliau, pelan tindakan yang dirangka kerajaan negeri sejak dua tahun lalu bagi menentukan kadar kenaikan quit rent didakwa gagal dan perlu digantikan dengan sistem baharu yang mengambil kira aspek keadilan sosial.
Lim berkata, sistem sedia ada dilihat membebankan pemilik tanah tanpa mengira latar belakang ekonomi atau kegunaan tanah sama ada untuk tujuan awam atau persendirian.
“Sesuatu jelas tidak kena apabila quit rent boleh meningkat lebih 3,000 kali ganda atau sehingga 300,000 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Beliau turut memberi beberapa contoh kes kenaikan yang dianggap tidak munasabah, termasuk kenaikan quit rent bagi sebuah flat kos rendah berusia 10 tahun daripada RM3,676 kepada RM22,120, iaitu peningkatan hampir lima kali ganda.
Selain itu, beliau turut mendakwa terdapat kes tanah sekolah yang menyaksikan kenaikan daripada RM2 kepada RM8,074.
Menurut Lim, keadaan tersebut menunjukkan bahawa sistem sedia ada tidak mengambil kira faktor kemampuan rakyat dan tujuan penggunaan tanah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri menggugurkan formula kenaikan quit rent sedia ada dan memulakan proses baharu dengan melibatkan rundingan serta maklum balas awam sebelum ia dilaksanakan.
Lim juga mempersoalkan jumlah hasil tambahan yang bakal diperoleh kerajaan negeri melalui kenaikan tersebut serta menggesa pentadbiran negeri memberi penjelasan kepada orang ramai.


