KUWAIT CITY – Kementerian Pertahanan Kuwait memaklumkan bahawa beberapa pesawat pejuang milik Amerika Syarikat terhempas di negara itu, namun semua anggota kru dilaporkan selamat.
Menurut kenyataan rasmi kementerian berkenaan, pihak berkuasa Kuwait segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik insiden berlaku.
“Semua kru berjaya diselamatkan dan telah dipindahkan ke hospital untuk menerima rawatan perubatan. Keadaan mereka dilaporkan stabil,” menurut kenyataan tersebut.
Pihak berkuasa Kuwait turut mengesahkan bahawa mereka bertindak dalam koordinasi rapat dengan pihak Amerika Syarikat dalam mengendalikan insiden itu.
Asap Tebal, Juruterbang Dilihat Terjun Keluar
Rakaman video yang tersebar menunjukkan sebuah pesawat pejuang menjunam dari udara sebelum terhempas, dengan kepulan asap tebal kelihatan naik ke langit.
Walaupun belum ada pengumuman terperinci daripada kerajaan Kuwait mengenai butiran teknikal insiden, laporan awal menyatakan sekurang-kurangnya seorang juruterbang sempat menggunakan kerusi lenting (ejection seat) sebelum pesawat terhempas dan terselamat.
Kementerian Pertahanan Kuwait memaklumkan satu siasatan telah dimulakan bagi menentukan punca nahas tersebut.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai jenis pesawat yang terlibat atau sama ada insiden tersebut berkait dengan situasi ketegangan keselamatan serantau yang sedang berlaku.



