CYBERJAYA – Bekas Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendakwa berlaku “konar baring” dalam tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghantar surat tunjuk sebab kepadanya atas alasan beliau kononnya telah mengisytiharkan keluar parti.
Menurut Rafizi, surat berkenaan dihantar susulan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau mungkin akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan menggunakan tiket PKR, namun ia merujuk kepada perancangan selepas Parlimen dibubarkan dan selepas beliau tidak lagi terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
Beliau menegaskan bahawa selagi beliau tidak menghantar surat keluar parti atau menyertai mana-mana parti lain secara rasmi, kedudukannya sebagai ahli PKR dan Ahli Parlimen tidak boleh digugurkan.
“Selagi saya Ahli Parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar dari parti, atau saya tidak mengisytiharkan saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai anggota PKR dan Speaker tidak boleh memecat saya dari Parlimen,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Dalam masa sama, Rafizi turut mempertikaikan tindakan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, yang menurutnya cuba mentafsir kenyataannya sebagai pengisytiharan keluar parti walaupun beliau tidak pernah berbuat demikian secara rasmi.
“Konar baring dari Fuziah Salleh ini tidak ubah seperti konar-konar baring semasa pemilihan PKR tempoh hari — dari pertukaran sistem mengundi, kepada blok rantai (blockchain), kepada keengganan membuka peti undi untuk diaudit.
“Sekarang konar baring itu hendak digunakan untuk menggugurkan saya dari Parlimen, walaupun saya tidak isytihar keluar parti,” katanya lagi.
Beliau turut mengkritik kepimpinan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dengan mendakwa Perdana Menteri itu tidak menunjukkan ketegasan dalam membuat keputusan terhadap beliau walaupun berlaku perbezaan pandangan terbuka sebelum ini.
Rafizi juga membandingkan situasi tersebut dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin, yang menurutnya mungkin telah mengambil tindakan lebih awal sekiranya perkara sama berlaku dalam parti itu.
Beliau memaklumkan akan memberikan jawapan rasmi terhadap surat tunjuk sebab berkenaan sebelum menyerahkan kepada pihak parti untuk menentukan tindakan lanjut. Kontroversi itu dilihat berpotensi menambah ketegangan dalaman PKR ketika spekulasi mengenai kedudukan beberapa pemimpin parti terus menjadi perhatian umum.



