Isu MyDigital ID RM28.13 Juta: Pemuda PAS Mahu Penilaian Semula Projek

CYBERJAYA – Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius dapatan yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 melibatkan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 serta laporan aktiviti kementerian, jabatan dan pengurusan syarikat kerajaan persekutuan.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata walaupun majoriti penyata kewangan menerima Pendapat Tanpa Teguran, hakikat bahawa masih terdapat 15 agensi diberikan Pendapat Diubahsuai tidak boleh dipandang ringan.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sekadar isu teknikal perakaunan, sebaliknya memberi isyarat wujudnya kelemahan pematuhan, ketidakcekapan kawalan dalaman serta kelemahan tatakelola kewangan yang memerlukan tindakan pembetulan menyeluruh.

Antara penemuan audit yang diberi perhatian termasuk baki geran penyelidikan berjumlah RM183.11 juta yang tidak dipulangkan oleh 11 agensi pelaksana di bawah program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

Selain itu, isu kutipan yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta oleh koperasi tanpa kuasa jelas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut disifatkan menunjukkan kelemahan serius dalam tadbir urus kewangan institusi pendidikan awam.

Beliau turut menyorot kedudukan kewangan Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) yang didakwa berdepan ketidakupayaan menyelesaikan obligasi akibat aset tidak mencukupi berbanding liabiliti.

Dalam masa sama, Pemuda PAS turut membangkitkan isu projek MyDigital ID oleh MIMOS Berhad, melibatkan perbelanjaan RM28.13 juta tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan serta penggunaan dana pembangunan bagi membayar emolumen dan kos operasi yang bertentangan dengan garis panduan Rancangan Malaysia Ke-12.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya mencadangkan kerajaan menjalankan siasatan terperinci susulan pendedahan audit, termasuk terhadap penggunaan dana projek MyDigital ID serta baki geran penyelidikan yang tidak dipulangkan.

Pemuda PAS juga mencadangkan supaya Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas diberikan kuasa membuat penelitian lanjutan bagi memastikan kebertanggungjawaban kementerian dan agensi berkaitan pengurusan kewangan serta belanjawan.

Selain itu, projek MyDigital ID dicadangkan dinilai semula secara menyeluruh, termasuk kemungkinan disusun semula, ditangguhkan atau dibatalkan sekiranya kos tidak sepadan dengan manfaat kepada rakyat, memandangkan ia turut melibatkan aspek keselamatan dan perlindungan data peribadi.

Menurut Afnan, Laporan Ketua Audit Negara bukan sekadar dokumen teguran tahunan, sebaliknya mencerminkan tahap integriti dan disiplin pengurusan kewangan negara yang memberi kesan langsung kepada kepercayaan rakyat serta keberkesanan perbelanjaan awam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat