RM28 Juta Dibelanja Tanpa Kelulusan Dalam Projek MyDigital ID, Pemuda MCA Desak Siasatan Telus

CYBERJAYA – Pendedahan Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung kelemahan perbelanjaan dalam pelaksanaan awal Projek MyDigital ID (MyDID) mencetuskan kebimbangan baharu terhadap tadbir urus projek digital negara.

Menurut laporan tersebut, sejumlah RM28.13 juta dibelanjakan oleh MIMOS Berhad tanpa kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata jumlah berkenaan bukan angka kecil dan menuntut kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh serta telus bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Beliau menegaskan bahawa setiap perbelanjaan dalam projek kerajaan sepatutnya melalui proses permohonan, penilaian dan kelulusan yang ketat. Justeru, perbelanjaan melebihi RM28 juta tanpa kelulusan sewajarnya dianggap sebagai satu pengabaian tanggungjawab yang serius.

“Kerajaan tidak boleh memandang ringan isu ini dengan hanya melabelkannya sebagai kecuaian pentadbiran atau masalah teknikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda MCA turut menggesa siasatan bebas dijalankan bagi menilai proses kelulusan projek, mekanisme perolehan dan pembayaran, serta mengenal pasti sekiranya wujud unsur salah guna kuasa, kronisme atau penipuan.

Menurut Neow, laporan hasil siasatan itu juga perlu dibentangkan secara terbuka kepada rakyat bagi memastikan ketelusan.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan data memandangkan projek MyDID melibatkan maklumat peribadi serta ekosistem ekonomi digital rakyat Malaysia.

“Sekiranya kelemahan tidak ditangani dengan serius, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta agensi berkaitan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan perlu membuktikan komitmen dalam melindungi aset dan privasi rakyat dengan mengambil langkah pembaharuan yang jelas serta berkesan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat